SEOUL, 16 November: Pendedahan seorang calon peperiksaan di Korea Selatan yang mengaku menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk memperoleh keputusan hampir sempurna dalam ujian kelayakan percukaian mencetuskan kebimbangan dalam kalangan guru dan pihak berkuasa menjelang peperiksaan kemasukan universiti yang penting minggu ini.
Peperiksaan tahunan yang dikenali sebagai Suneung itu dijadual berlangsung Khamis ini dan bakal menyaksikan sebahagian besar aktiviti di Korea Selatan terhenti sementara, termasuk penerbangan yang akan dihentikan ketika ujian mendengar bahasa Inggeris serta urus niaga saham yang ditangguhkan selama sejam.
Pengakuan individu terbabit pada Ahad bahawa dia menggunakan kamera mini dan telefon pintar dalam dua peperiksaan percukaian peringkat kebangsaan awal tahun ini menyebabkan pihak sekolah dan berkuasa berusaha memperketat langkah pencegahan penipuan.
Seorang guru sekolah menengah di bandar Cheongju, Kim Seung-ho berkata, pendedahan itu telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan tenaga pengajar.
“Setiap pusat peperiksaan dibekalkan enam hingga tujuh alat pengesan logam, tetapi jumlah itu tidak mencukupi untuk setiap bilik peperiksaan.
“Masalahnya, kami tidak tahu sama ada alat berkenaan mampu mengesan kamera mini atau fon telinga bersaiz nano,” katanya kepada AFP.
Lebih setengah juta pelajar dijangka menduduki peperiksaan selama sembilan jam itu tahun ini dalam sistem pendidikan Korea Selatan yang sangat kompetitif.
Kemasukan ke universiti terkemuka di negara berkenaan sering dianggap sebagai laluan untuk mendapatkan pekerjaan bergaji tinggi, selain meningkatkan prospek perkahwinan.
Seorang calon peperiksaan berusia 18 tahun, Song Ji-eun berkata, pemeriksaan keselamatan yang terlalu kerap juga boleh menjejaskan tumpuan pelajar.
“Saya mungkin sukar memberikan tumpuan jika pengawas sentiasa memeriksa cermin mata saya untuk mengesan kamera kecil.
“Ada pepatah mengatakan bahawa tiupan angin yang sedikit pun boleh menjejaskan tumpuan, keputusan peperiksaan, malah seluruh kehidupan seseorang,” katanya.
Pertimbang sekatan Wi-Fi dan rangkaian mudah alih
Susulan pendedahan penipuan itu, Pejabat Presiden Korea Selatan mengumumkan rancangan menempatkan kamera pengimejan terma di pusat peperiksaan.
Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada peralatan berkenaan akan dipasang di kesemua 1,312 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Pihak berkuasa pendidikan turut mempertimbangkan langkah menggantung sementara perkhidmatan Wi-Fi awam berhampiran lokasi peperiksaan kemasukan universiti.
“Kami sedang meneliti semua langkah, termasuk menggantung rangkaian Wi-Fi awam,” kata seorang pegawai Kementerian Pendidikan kepada AFP.
Menurut pegawai itu, pengumuman berhubung langkah keselamatan berkenaan akan dibuat sebelum peperiksaan berlangsung.
Laporan media tempatan turut menyebut bahawa kerajaan sedang membincangkan kemungkinan menyekat rangkaian data mudah alih 5G dan LTE di sekitar pusat peperiksaan, selain mengaktifkan peralatan pengganggu isyarat komunikasi.
Timbalan Menteri Pendidikan, Choi Eun-ok berkata, perkembangan teknologi peranti yang semakin canggih, termasuk peralatan yang boleh dilekatkan pada badan, menyukarkan usaha mengesan semua bentuk penipuan.
“Dengan kemajuan peranti, termasuk yang boleh dipasang pada tubuh, bukan mudah untuk mengesan 100 peratus kejadian penipuan tanpa menyekat komunikasi sepenuhnya,” katanya.
Bagaimanapun, pakar berpendapat langkah menyekat isyarat komunikasi secara menyeluruh tidak dapat dilaksanakan dari segi teknikal kerana boleh mengganggu komunikasi di kawasan perumahan berhampiran serta menghalang panggilan kecemasan.
Menteri Pendidikan, Choi Kyo-jin berkata, kementeriannya sedang berunding dengan Kementerian Sains bagi meneliti kemungkinan melaksanakan sekatan isyarat, sekurang-kurangnya bagi sebahagian tempoh peperiksaan.
Beliau bagaimanapun menolak gesaan supaya peperiksaan itu dijadualkan semula kerana tindakan sedemikian dikhuatiri menimbulkan kekeliruan yang lebih besar.
Integriti sistem peperiksaan dipersoal
Pengakuan individu yang terlibat dalam penipuan berkenaan dibuat menerusi rakaman video yang dimuat naik ke saluran YouTube peguamnya selepas timbul persoalan mengenai keputusan luar biasa yang diperolehnya.
Individu itu menduduki tempat pertama dalam kedua-dua peringkat peperiksaan kelayakan berkenaan, termasuk menjawab dengan betul semua kecuali satu daripada 160 soalan pada peringkat pertama.
Pencapaian tersebut dianggap hampir mustahil oleh ramai akauntan percukaian.
Pengakuannya turut mencetuskan syak wasangka bahawa penipuan menggunakan AI mungkin telah berlaku dalam peperiksaan penting lain, termasuk ujian kemasukan sekolah undang-undang dan peperiksaan pertukaran universiti.
Seorang calon, Lee Jin-woo, yang memperoleh markah penuh dalam ujian kemasukan sekolah undang-undang pada Julai lalu dan kemudian mendapat perhatian meluas, turut berdepan penelitian berhubung keputusannya.
Bagi membuktikan kebolehannya, Lee mengumumkan rancangan untuk menyiarkan secara langsung sesi dirinya menjawab bahagian bahasa Korea dalam peperiksaan Suneung pada Khamis ini.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa merancang meneliti semula semua kes yang disyaki melibatkan penipuan dalam peperiksaan pelesenan profesional yang dikendalikan kerajaan.
Bagaimanapun, guru sekolah menengah, Kim Seung-ho menyifatkan tindakan pihak berkuasa sebagai terlalu lewat.
“Kami telah mengadakan dua peperiksaan percubaan kemasukan universiti pada Jun dan September lalu yang boleh digunakan untuk menguji tahap kesiapsiagaan mencegah penipuan menggunakan AI.
“Namun, kami tidak melakukan sebarang latihan pencegahan dan telah mensia-siakan peluang untuk membuat persediaan menghadapi peperiksaan Suneung sebenar,” katanya.
Pakar memberi amaran bahawa sebarang pelanggaran integriti peperiksaan kemasukan universiti boleh membawa kesan serius terhadap keyakinan masyarakat kepada sistem pendidikan Korea Selatan.
Profesor Institut Pendidikan Konvergensi Kreatif Universiti Hanyang, Kim Seong-sheen berkata, Suneung merupakan lambang keadilan dalam sistem pendidikan negara itu kerana semua pelajar dinilai berdasarkan kemampuan masing-masing tanpa mengira latar belakang.
“Suneung ialah simbol keadilan di Korea Selatan, apabila pelajar bersaing atas dasar yang sama tanpa mengira latar belakang atau keadaan mereka.
“Jika peranti AI boleh menjejaskan integriti peperiksaan ini, isu tersebut jauh melangkaui satu kes penipuan semata-mata.
“Ia bermakna keyakinan masyarakat terhadap keseluruhan sistem peperiksaan turut terjejas,” katanya.– AFP




