Legenda Brazil Ronaldinho kembali beraksi bersama kelab Itali

Facebook
WhatsApp
BINTANG bola sepak Brazil, Ronaldinho melambai ke arah penyokong ketika rehat separuh masa perlawanan bola sepak Serie C Itali antara Ravenna dan Forli di Stadium Benelli, Ravenna. Foto AFP

ISTANBUL, 16 November: Legenda bola sepak Brazil, Ronaldinho kembali beraksi dalam perlawanan kompetitif selepas lebih 11 tahun apabila membantu kelab divisyen tiga Itali, Ravenna menewaskan Forli 2-0 pada Ahad.

Anadolu Ajansi melaporkan bekas bintang Barcelona dan AC Milan berusia 46 tahun itu membuat penampilan rasmi pertamanya sejak 26 September 2015, ketika kali terakhir beraksi bersama kelab Brazil, Fluminense.

Ronaldinho, yang menjadi pelabur dalam Ravenna awal tahun ini, diturunkan dalam kesebelasan utama bagi perlawanan Serie C di Stadium Bruno Benelli.

Pada mulanya dijangka beraksi hanya 30 minit, bekas pemenang Ballon d’Or itu sebaliknya bermain sepanjang separuh masa pertama dan turut terlibat dalam gerakan yang menghasilkan gol pembukaan Ravenna.

Pada minit ke-36, Ronaldinho berjaya mengawal bola meskipun diasak pemain pertahanan lawan sebelum melakukan hantaran kepada Leonardo Lonardi, yang kemudian membuka ruang buat Giulio Donati meledak gol menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti.

Ronaldinho menerima tepukan gemuruh daripada penonton yang berdiri memberikan penghormatan ketika meninggalkan padang pada waktu rehat, sekali gus menamatkan aksi kemunculannya semula selepas 45 minit.

Bekas pemain antarabangsa Brazil yang membantu negaranya menjuarai Piala Dunia FIFA 2002 itu turut meraih anugerah Ballon d’Or pada 2005, selain memenangi dua gelaran La Liga dan Liga Juara-Juara UEFA bersama Barcelona.

Ronaldinho secara rasmi bersara daripada bola sepak profesional pada 2018, tiga tahun selepas penampilan terakhirnya dalam perlawanan kompetitif.

Bercakap selepas perlawanan, Ronaldinho tidak menolak kemungkinan untuk kembali beraksi bersama Ravenna dan berkata beliau bersedia berbuat demikian sekiranya diminta oleh presiden kelab itu.- Bernama-Anadolu