SIBU, 15 November: Gesaan supaya projek pembinaan jalan raya yang menghubungkan Dalat ke Sibu dipercepatkan mendapat sokongan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar dan Kesihatan Awam, Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Kaunselor Kevin Lau.
Beliau berkata, pelaksanaan projek berkenaan amat penting bagi memastikan kawasan pedalaman seperti Muara Kut, Sungai Pinang, Bungan Besar, Rasau hingga Rantau Panjang tidak terus ketinggalan daripada arus pembangunan.
“Saya menyokong gesaan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah yang disuarakan pada Ogos lalu supaya projek berkenaan dipercepatkan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Jeffrey Linggai Majin, Sungai Pinang, Batang Igan.
Lau berharap pihak berkaitan memberikan perhatian serius terhadap usaha itu demi meningkatkan akses perhubungan dan kemudahan asas penduduk di sepanjang jajaran berkenaan, khususnya di Sungai Pinang.
“Kita mempunyai harapan yang sama dan menyokong usaha mempercepatkan pelaksanaan projek berkenaan supaya pembangunan dapat dibawa ke kawasan ini.
“Kita juga berharap dapat bekerjasama dengan Fatimah bagi memastikan sekurang-kurangnya Sungai Pinang mempunyai akses jalan yang menghubungkannya dengan Muara Kut,” katanya.
Lau yang juga Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan berkata, beliau dimaklumkan projek berkenaan kini berada pada beberapa peringkat pelaksanaan, termasuk perancangan dan reka bentuk.
Justeru, katanya, kerjasama semua pihak serta agensi berkaitan amat diperlukan bagi mempercepatkan proses pelaksanaan projek berkenaan.
“Kemudahan jalan raya yang lebih baik bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, penyediaan kemudahan asas dan peningkatan kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Lau turut mencadangkan pembinaan jambatan yang menghubungkan kawasan tebing barat Sibu dengan pusat bandar sebagai langkah merancakkan pembangunan di kawasan Bawang Assan.
Katanya, cadangan itu pernah disuarakannya kepada Premier Sarawak ketika menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina pada 2025 dengan harapan projek berkenaan dapat direalisasikan.
“Perkara pertama yang saya mohon kepada Premier Sarawak ketika itu ialah supaya jambatan yang menghubungkan tebing barat Sibu dengan pusat bandar Sibu dapat dibina agar pembangunan boleh mula dibawa ke kawasan Bawang Assan.
“Itulah niat kita supaya kita bersama-sama bekerjasama membawa idea seperti ini kepada pihak atasan,” katanya.
Sementara itu, Tuai Rumah Jeffrey berkata, penduduk Sungai Pinang masih berdepan kekurangan kemudahan asas, khususnya jalan raya, bekalan air bersih dan liputan telekomunikasi.
Katanya, penduduk terpaksa bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ketika musim kemarau, manakala ketiadaan akses jalan turut menyukarkan usaha membawa masuk bekalan air dan memasang tangki yang dibekalkan pihak berkaitan.
Beliau berharap Sungai Pinang tidak terus tercicir daripada arus pembangunan dan dapat menikmati perubahan ketara dalam tempoh lima tahun akan datang, terutama dari segi penyediaan kemudahan asas.
Menurutnya, kekurangan kemudahan tersebut turut menyebabkan semakin ramai penduduk tidak lagi menetap di rumah panjang masing-masing.
“Kami berharap Sungai Pinang tidak disisihkan daripada pembangunan dan turut menikmati kemudahan asas seperti kawasan lain,” katanya.
Oleh Akun Giman



