16 pasukan dari lapan kawasan meriahkan Futsal Sukan Kasus Saberkas 2026

Facebook
WhatsApp
DATUK Ding Koung Hiing menerima jersi daripada pasukan Kelab Belia Bintangor. Foto Pusat Khidmat penyandang kerusi DUN Meradong. Foto Ding Kuong Hiing

BINTANGOR, 15 November: Sebanyak 16 pasukan dari lapan kawasan menyertai Pertandingan Futsal Sukan Kasus Saberkas 2026.

Pasukan yang mengambil bahagian datang dari Meradong, Semop, Belawai, Dalat, Debak, Sarikei, Pakan dan Julau, memperlihatkan penyertaan belia dari pelbagai kawasan dalam pertandingan tersebut.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong yang juga Pengerusi Saberkas Cawangan Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, penganjuran aktiviti sukan seperti futsal bukan sahaja menyediakan ruang persaingan sihat, malah membantu membentuk disiplin, kerjasama dan sikap saling menghormati dalam kalangan peserta.

Katanya, penglibatan belia dalam kegiatan sukan perlu terus digalakkan kerana mampu menyediakan peluang kepada mereka mengembangkan bakat dan memanfaatkan masa melalui aktiviti yang positif.

“Sukan bukan sekadar pertandingan untuk menentukan kemenangan atau kekalahan, malah merupakan medium penting dalam membentuk disiplin diri, semangat berpasukan, kerjasama dan sikap saling menghormati antara satu sama lain.

“Melalui penganjuran pertandingan seperti ini, golongan belia berpeluang mengembangkan bakat dan potensi diri, di samping mengeratkan hubungan persahabatan serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan Futsal Sukan Kasus Saberkas 2026 semalam.

Ding turut mengucapkan tahniah kepada Kelab Belia Pekan Bintangor atas inisiatif menganjurkan kejohanan tersebut sebagai usaha memperluas penglibatan golongan muda dalam aktiviti sukan dan amalan gaya hidup sihat.

Katanya, penyertaan pasukan dari pelbagai kawasan turut membuka peluang kepada peserta untuk berinteraksi dan membina jaringan persahabatan di luar komuniti masing-masing.

Ding turut mengingatkan semua peserta supaya memberikan persembahan terbaik dengan mematuhi peraturan dan mengutamakan semangat kesukanan sepanjang kejohanan.

Tambahnya, pengalaman dan hubungan persahabatan yang terjalin melalui pertandingan merupakan antara manfaat penting yang boleh dibawa oleh peserta selepas kejohanan berakhir.

“Kemenangan bukanlah perkara utama, sebaliknya pengalaman, persahabatan dan semangat kesukanan yang dibina sepanjang pertandingan lebih bermakna,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap pihak penganjur dapat meneruskan pertandingan tersebut pada masa akan datang bagi menyediakan lebih banyak peluang kepada belia menyertai kegiatan yang sihat dan bermanfaat.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara pertubuhan belia dan organisasi masyarakat dalam menjayakan program yang dapat menggalakkan penyertaan generasi muda.

Turut hadir ialah Pengerusi Kelab Belia Pekan Bintangor, Iqmal Khaizal; Timbalan Pengerusi Saberkas Cawangan Meradong, Ley Chee Hua dan Setiausaha Program Saberkas Cawangan Meradong, Abang Husen.

Oleh Earl Anek