Uggah mahu program subsidi penuh kepada pekebun kecil dihidupkan semula

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Penutupan Bual Bicara Komoditi 2026 di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong. Foto Douglas Uggah Embas Official

BETONG, 15 November: Program pembangunan pekebun kecil yang pernah dirancang ketika Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyandang jawatan Menteri Perladangan dan Komoditi wajar dipertimbangkan untuk dilaksanakan semula bagi memperkukuh ekonomi masyarakat luar bandar.

Timbalan Premier Sarawak itu berkata, antara inisiatif yang pernah dirancang ialah pemberian subsidi penuh bagi aktiviti penanaman baharu dan penanaman semula kelapa sawit, yang berpotensi membantu pekebun kecil memperluas kawasan tanaman serta meningkatkan pendapatan.

Menurutnya, pendekatan berkenaan perlu dinilai semula dan disesuaikan dengan keperluan semasa bagi memastikan golongan pekebun kecil terus menerima sokongan sewajarnya dalam membangunkan sektor komoditi.

“Program seperti ini wajar dilihat semula kerana bantuan bagi penanaman baharu dan penanaman semula dapat membantu pekebun kecil mengembangkan kebun serta meningkatkan sumber pendapatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Bual Bicara Komoditi 2026 di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, di sini semalam.

Selain memperkukuh sektor penanaman, Uggah turut menekankan kepentingan membangunkan industri hiliran berasaskan sumber tempatan bagi meningkatkan nilai tambah hasil komoditi Sarawak.

Beliau berkata, Betong mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai pusat pengeluaran perabot dan bahan binaan berasaskan kayu getah dengan memanfaatkan bekalan sumber berkenaan dari kawasan sekitar, termasuk Sarikei dan Lubok Antu.

Katanya, usaha itu bukan sahaja dapat mengoptimumkan penggunaan sumber tempatan, malah membuka peluang ekonomi baharu dan mewujudkan aktiviti perindustrian yang memberikan manfaat kepada masyarakat setempat.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menyarankan agar potensi tanaman koko dikembangkan semula, bukan sekadar untuk pengeluaran bahan mentah, tetapi turut merangkumi aktiviti pemprosesan dan pembuatan coklat yang berpotensi menembusi pasaran eksport.

Sementara itu, sektor lada hitam juga perlu terus diperkasakan menerusi penggunaan teknologi moden bagi meningkatkan produktiviti serta menangani masalah penyakit tanaman yang boleh menjejaskan hasil pengeluaran pekebun.

“Pembangunan sektor komoditi tidak seharusnya terhenti pada pengeluaran bahan mentah. Kita perlu melihat peluang menghasilkan produk hiliran supaya sumber tempatan dapat memberikan nilai tambah dan manfaat ekonomi yang lebih besar kepada rakyat,” katanya.

Uggah menegaskan bahawa kerjasama erat antara Kementerian Perladangan dan Komoditi Malaysia, agensi teknikal serta golongan pekebun kecil amat penting bagi memastikan potensi sektor komoditi Sarawak dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Beliau berkata, pendekatan menyeluruh yang merangkumi bantuan penanaman, penggunaan teknologi dan pembangunan industri hiliran mampu menjadi pemangkin kepada peningkatan pendapatan serta kesejahteraan masyarakat luar bandar.

Program sehari itu melibatkan Kementerian Perladangan dan Komoditi, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD).

Seramai 778 peserta komoditi berdaftar di bawah ketiga-tiga kementerian berkenaan menyertai program tersebut.

Oleh Adi Safarman