PETRA JAYA, 15 November: Berpegang pada prinsip amanah dan melaksanakan tanggungjawab dengan ikhlas demi meraih pahala merupakan nilai yang menjadi pegangan anggota Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dalam memberikan khidmat kepada masyarakat, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau yang juga Presiden PBB berkata, prinsip amanah bukan sahaja menjadi pegangan dalam perjuangan parti, malah perlu diterapkan dalam pentadbiran kerajaan bagi memastikan setiap tanggungjawab dilaksanakan dengan penuh integriti serta mematuhi peraturan dan undang-undang.
Sehubungan itu, beliau mengetengahkan pelaksanaan sistem Ombudsman dan penempatan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) di setiap agensi serta jabatan kerajaan Sarawak sebagai mekanisme penting untuk memperkukuh integriti, mencegah penyalahgunaan kuasa dan rasuah serta memastikan pentadbiran berjalan mengikut undang-undang.
Menurutnya, penempatan CeIO di semua agensi dan jabatan kerajaan bertujuan memastikan setiap urusan pentadbiran mematuhi peraturan yang ditetapkan, sekali gus mengelakkan penyalahgunaan kuasa.
“Kita ada sistem Ombudsman. Apa yang berlaku, kita letakkan CeIO di semua agensi dan jabatan kerajaan supaya sistem kita berjalan mengikut pematuhan kepada sistem tersebut dan undang-undang. Supaya jangan ada salah guna kuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Khas PBB Zon Selatan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Abang Johari turut menyentuh usaha kerajaan negeri memperkukuh budaya integriti menerusi pelaksanaan audit dan penganjuran simposium berkaitan rasuah serta tadbir urus bagi memastikan aspek pematuhan dan akauntabiliti terus diberi perhatian.

Menurutnya, usaha Sarawak membangunkan sistem integriti dan Ombudsman turut mendapat perhatian di peringkat antarabangsa apabila Dekan Akademi Antirasuah Antarabangsa (IACA), Drago Kos, mengiktiraf pendekatan yang dilaksanakan kerajaan negeri.
Malah, beliau berkata, IACA turut menjemputnya untuk berkongsi pengalaman Sarawak dalam membangunkan sistem berkenaan di Vienna, Austria.
Abang Johari menegaskan bahawa pengukuhan integriti bukan sekadar melibatkan pelaksanaan sistem dan pematuhan peraturan, sebaliknya perlu disertai nilai amanah dalam kalangan mereka yang diberikan tanggungjawab.
“Jadi, orang PBB adalah orang yang beramanah. Kita akhirnya membuat kerja demi untuk pahala. Kita mati tidak membawa apa-apa, tidak membawa baju PBB, hanya kain putih,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa setiap manusia akhirnya akan meninggalkan segala kedudukan dan harta dunia. Justeru, setiap khidmat serta tanggungjawab yang dilaksanakan perlu berlandaskan nilai kebaikan dan amanah.
Sarawak mencatat sejarah sebagai negeri pertama di Malaysia yang menggubal undang-undang khusus berkaitan institusi Ombudsman menerusi kelulusan Ordinan Ombudsman Sarawak 2023 pada 20 November 2023.
Ordinan berkenaan mula berkuat kuasa pada 1 April 2024, sekali gus menyediakan kerangka perundangan bagi menangani aduan berkaitan salah tadbir urus serta memperkukuh akauntabiliti dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Oleh Afiq Sallehi





