KLUANG, 15 November: Keputusan Anthony Loke meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan bukan dibuat secara terburu-buru, sebaliknya berlandaskan pendirian yang telah dinyatakanya sejak beberapa bulan lepas, kata Naib Pengerusi DAP Teo Nie Ching.
Beliau berkata meskipun keputusan itu sukar diterima parti, ketegasan untuk berpegang pada prinsip mencerminkan komitmen Loke dalam mempertahankan pendirian parti berhubung isu berkenaan.
Pengerusi DAP Johor itu berkata Loke telah banyak menyumbang kepada pembangunan sektor pengangkutan negara sepanjang menerajui kementerian berkenaan, termasuk dalam memperkukuh sektor logistik dan perkhidmatan rel.
”Melihat seorang pemimpin yang telah mencurahkan sepenuh jiwa raga mentransformasikan kementerian berundur demi mempertahankan prinsip adalah sesuatu yang sangat menyentuh hati.
”Kita semua tahu berapa besar impak hasil kerja saudara Anthony Loke sepanjang menerajui Kementerian Pengangkutan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Tahunan Negeri DAP Johor 2026 di sini hari ini.
Pada 10 November, Loke mengumumkan peletakan jawatannya dalam Kabinet berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah bermula pada hari berkenaan.
Bagaimanapun, Loke dan Ahli Parlimen DAP lain kekal menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Susulan perkembangan itu, Anwar pada Jumaat lepas menyatakan belum membuat sebarang keputusan berhubung peletakan jawatan Loke, meskipun sudah menerima surat rasmi daripada pemimpin DAP berkenaan. – Bernama




