PETRA JAYA, 15 November: Lautan merah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) membanjiri Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) apabila hampir 4,000 perwakilan dan anggota parti dari 26 cawangan Bahagian Selatan Sarawak berhimpun bagi menghadiri Konvensyen Khas PBB menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Perhimpunan itu melibatkan perwakilan dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.1 Opar hingga N.26 Gedong, merangkumi Jawatankuasa Induk serta Pergerakan Pemuda, Wanita dan Belia PBB.

Kehadiran anggota parti memenuhi ruang konvensyen sekali gus memperlihatkan pengaktifan jentera PBB dari 26 cawangan di seluruh Bahagian Selatan Sarawak.
Bertemakan “Jaga Sarawak Intu Sarawak”, konvensyen khas itu menjadi platform menghimpunkan kepimpinan dan anggota parti bagi menyelaraskan persiapan, menggerakkan jentera di peringkat akar umbi serta memperkukuh gerak kerja organisasi dalam menghadapi PRN Sarawak ke-13.

Penganjuran konvensyen Zon Selatan itu meneruskan siri konvensyen khas PBB mengikut zon, yang sebelum ini berlangsung di Miri bagi Zon Utara pada 13 September lalu dengan penyertaan perwakilan daripada 18 cawangan.
Dari sudut sejarah, PBB ditubuhkan secara rasmi pada 30 April 1973 hasil penggabungan Parti Bumiputera dan Parti Pesaka Sarawak (PESAKA), selepas melalui proses rundingan antara pemimpin kedua-dua parti.
Pembentukan itu bertujuan menyatukan masyarakat Bumiputera Sarawak di bawah satu wadah politik, dengan Tun Temenggong Jugah Barieng dilantik sebagai Presiden pertama parti berkenaan.
Sejak penubuhannya, PBB menjadi antara parti utama dalam landskap politik Sarawak dan kini merupakan komponen terbesar Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Pada PRN Sarawak ke-12, PBB memenangi kesemua 47 kerusi yang ditandinginya daripada keseluruhan 82 kerusi DUN, sekali gus menjadi penyumbang terbesar kepada kemenangan GPS yang memperoleh 76 kerusi.
PBB merupakan parti komponen terbesar GPS yang turut dianggotai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
GPS sebelum ini mengesahkan akan bertanding di kesemua 82 kerusi DUN pada PRN Sarawak ke-13, dengan pembahagian kerusi antara empat parti komponennya akan ditentukan oleh kepimpinan gabungan itu.
Oleh Afiq Sallehi





