BINTANGOR, 15 November: Kemudahan pembelajaran murid pendidikan khas dan ruang kerja guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Bintangor bakal dinaik taraf menerusi kelulusan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah keseluruhan RM65,000.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, peruntukan itu melibatkan kerja menaik taraf Kelas Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan bilik guru sekolah tersebut, termasuk penyediaan kemudahan penghawa dingin.
Katanya, penambahbaikan itu bertujuan mewujudkan persekitaran pembelajaran dan tempat kerja yang lebih selesa bagi murid serta warga pendidik.
“Peruntukan Projek RTP berjumlah RM65,000 telah diluluskan bagi kerja-kerja menaik taraf Kelas Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) serta bilik guru SMK Bandar Bintangor, termasuk penyediaan kemudahan penghawa dingin.
“Usaha ini bertujuan mewujudkan persekitaran pembelajaran dan tempat kerja yang lebih selesa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi Akhir Tahun 2026 anjuran Kelab Kebajikan Sekolah SMK Bandar Bintangor pada semalam.
Ding turut mengumumkan sumbangan RM5,000 kepada Kelab Kebajikan SMK Bandar Bintangor bagi menyokong aktiviti dan kebajikan warga sekolah.
Mengulas penganjuran majlis apresiasi tersebut, katanya, ia merupakan platform menghargai komitmen guru dan kakitangan sekolah yang telah melaksanakan pelbagai tanggungjawab sepanjang tahun ini.
Katanya, kejayaan sesebuah sekolah bukan sahaja bergantung kepada pencapaian akademik, malah turut dipengaruhi kerjasama, hubungan profesional dan semangat berpasukan dalam kalangan warga pendidik.
“Majlis apresiasi ini merupakan satu penghargaan terhadap segala jasa, pengorbanan dan sumbangan para guru serta seluruh warga sekolah yang telah menunjukkan komitmen dan dedikasi tinggi dalam menjayakan pelbagai aktiviti serta program sepanjang tahun.
“Usaha dan kerjasama semua pihak merupakan antara tonggak utama yang menyumbang kepada kemajuan dan kecemerlangan SMK Bandar Bintangor,” katanya.
Ding turut menekankan kepentingan hubungan baik dalam kalangan warga sekolah bagi memastikan setiap program dan aktiviti dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Turut hadir ialah Pengetua SMK Bandar Bintangor, Leo Mathias Kamandan; Pengerusi Kelab Kebajikan Sekolah, Abu Seman Wahab dan Penolong Pengerusi Kelab Kebajikan Sekolah, Paat Hie Ching.
Oleh Earl Anek




