ISTANBUL, 15 November: Persekutuan Bola Sepak Portugal (FPF) pada Sabtu mengumumkan bahawa badan induk itu telah mereka bentuk semula jersi ikonik nombor 7 pasukan kebangsaan sebagai penghormatan kepada Cristiano Ronaldo susulan persaraannya daripada bola sepak antarabangsa.
Reka bentuk baharu itu, yang menampilkan garisan melintang merentasi angka 7, akan mula digunakan pada perlawanan Liga Negara-Negara UEFA antara Portugal dengan Denmark pada Sabtu di Braga, yang merupakan perlawanan pertama pasukan itu sejak persaraan Ronaldo.
“Mulai hari ini dan seterusnya, kita akan mempunyai nombor 7 yang berbeza pada jersi, namun dengan semangat dan kebanggaan yang sama, manakala nombor 7 dengan reka bentuk terdahulu dikekalkan bagi mengabadikan kisah yang tidak akan dilupakan,” menurut FPF dalam satu kenyataan, lapor Anadolu Ajansi.
Persekutuan itu memaklumkan bahawa perubahan berkenaan bertujuan mengekalkan reka bentuk asal yang sinonim dengan kerjaya antarabangsa Ronaldo, sambil membolehkan pemain lain terus memakai jersi bernombor itu pada masa depan.
Peraturan penomboran jersi pemain oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) tidak membenarkan pasukan kebangsaan menghentikan penggunaan nombor jersi secara kekal, menyebabkan Portugal memilih untuk mereka bentuk semula jersi nombor 7 itu.
Pemain sayap Club Brugge Carlos Forbs dijangka menjadi pemain pertama yang memakai jersi nombor 7 dengan reka bentuk baharu itu pada aksi menentang Denmark.
Ronaldo, 41, mengumumkan persaraannya daripada bola sepak antarabangsa pada 5 Nov lepas selepas mengharungi karier selama 23 tahun, dengan rekod sebagai pemain yang paling banyak membuat penampilan dan penjaring terbanyak dalam sejarah bola sepak antarabangsa lelaki, masing-masing dengan 234 penampilan dan 146 gol.
Pemenang anugerah Ballon d’Or sebanyak lima kali itu membantu Portugal meraih trofi utama antarabangsa pertama negara berkenaan pada Euro 2016 serta dua kejuaraan Liga Negara-Negara UEFA pada 2019 dan 2025. – Bernama




