Ahli PBB diingat tidak terlalu selesa menjelang PRN Sarawak ke-13 – Awang Tengah

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Presiden PBB Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menghadiri Mesyuarat Khas PBB Cawangan Bukit Sari di sebuah hotel di Lawas, hari ini.

LAWAS, 14 November: Ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari diingatkan supaya tidak terlalu selesa dengan keadaan semasa, sebaliknya terus fokus melaksanakan perancangan bagi memastikan pengundi berdaftar keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Timbalan Presiden PBB Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, keadaan politik yang tenang serta sokongan padu rakyat ketika ini tidak seharusnya menyebabkan ahli parti leka dan mengambil mudah persiapan menghadapi pilihan raya.

Beliau berkata, sikap terlalu yakin dengan kemenangan boleh menyebabkan sebahagian penyokong tidak keluar mengundi, sekali gus menjejaskan peluang parti untuk memperoleh kemenangan.

“Walaupun sokongan itu bagus buat ketika ini, tetapi kita jangan terlalu selesa. Selalunya dalam keadaan tenang seperti ini, kita terlalu selesa dan itulah yang menjadi masalah. Kadang-kadang ada yang tidak turun mengundi kerana beranggapan kita sudah pasti menang. Akhirnya, apabila tiba hari mengundi, jumlah yang keluar mengundi tidak seperti dijangkakan.

“Inilah yang kadang-kadang menjejaskan kita dan boleh meletakkan kita dalam keadaan sukar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Khas PBB Cawangan Bukit Sari di sebuah hotel di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau mahu semua sayap parti mempergiat gerak kerja turun padang bagi memastikan pengundi berdaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari keluar mengundi dalam peratusan yang tinggi.

Katanya, usaha itu penting bagi mengelakkan parti berdepan situasi tidak dijangka sekiranya penyokong tegar Gabungan Parti Sarawak (GPS) gagal menunaikan tanggungjawab mengundi akibat terlalu yakin dengan keadaan semasa.

Mesyuarat berkenaan diteruskan dengan perbincangan tertutup bagi membincangkan program serta perancangan kempen menghadapi PRN Sarawak ke-13 di DUN Bukit Sari.

Pada PRN Sarawak ke-12, Awang Tengah yang mewakili GPS di kerusi DUN N.82 Bukit Sari memperoleh 6,385 undi dengan majoriti 5,636 undi, menewaskan dua pencabarnya daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang memperoleh 749 undi dan Parti Bumi Kenyalang (PBK) dengan 165 undi.