PRN Melaka: 240 pusat mengundi ditutup serentak 6.00 petang

Facebook
WhatsApp
PETUGAS Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menutup pagar selepas proses pengundian tamat pada jam 6 petang sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) melaka Ke-16 di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Syed Ahmad Shahabudin hari ini. Foto Bernama

MELAKA, 14 November: Proses pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 berakhir secara rasmi, selepas kesemua 240 pusat mengundi biasa dengan 1,213 saluran di seluruh negeri ditutup tepat 6.00 petang ini.

Sejak dibuka seawal 8.00 pagi tadi, tinjauan Bernama di beberapa pusat mengundi mendapati proses pengundian berlangsung dalam keadaan tenang dan terkawal dengan cuaca baik di seluruh negeri sejak pagi, walaupun Jabatan Meterologi Malaysia pada awalnya meramalkan ribut petir pada waktu petang.

Berdasarkan papan pemuka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 6.05 petang ini, sebanyak 70.59 peratus atau lebih 472,377 orang daripada keseluruhan 669,211 pemilih biasa, telah menunaikan tanggungjawab mereka.

Secara keseluruhannya, terdapat 675,166 pengundi biasa bagi PRN kali ini, dengan 5,955 daripada mereka mengundi secara pos.

Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun pada sidang media pagi tadi berkata suruhanjaya itu, menyasarkan peratusan keluar antara 70 hingga 75 peratus, dengan keputusan penuh melibatkan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dijangka diperoleh selewat-lewatnya 12 tengah malam ini.

PRN Melaka ke-16 menggunakan daftar pemilih yang dikemas kini sehingga 22 Sept, yang mengandungi 687,697 pemilih berdaftar, termasuk 12,531 orang tentera dan pasangan serta polis yang telah menunaikan tanggungjawab menerusi pengundian awal pada Selasa.

Pengundian awal yang melibatkan 31 pusat mengundi itu merekodkan 9,417 atau 94.96 peratus daripada 9,917 pemilih keluar mengundi secara fizikal, manakala 2,614 lagi mengundi secara pos.

Tumpuan kini terarah kepada keputusan siapakah 28 daripada 79 calon yang bertanding berjaya mendapat mandat rakyat.

PRN Melaka kali ini menyaksikan Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon paling ramai iaitu di 24 kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN) dengan 23 calon, Parti Bersama Malaysia (16), Bersatu (tujuh), Perikatan Nasional (lima), Parti Pribumi Perkasa Malaysia (satu) dan tiga calon Bebas.

PRN kali ini diadakan susulan pembubaran DUN Melaka ke-15 pada 23 Sept, selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.

Pada PRN Melaka ke-15 yang berlangsung 20 Nov 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, manakala PH (lima) dan PN (dua).

Dapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16 menerusi https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/. – Bernama