SIBU, 14 November: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) perlu memperkukuh keupayaan kewangan, kecekapan operasi dan tadbir urus bagi memastikan institusi itu mampu berkembang secara mampan serta memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan ekonomi Sarawak menjelang 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengukuhan keupayaan institusi itu penting bagi memastikan UTS bukan sahaja berupaya mencapai kecemerlangan akademik, malah mempunyai asas pengurusan dan kewangan yang kukuh untuk menyokong pembangunan jangka panjang.

Menurutnya, UTS telah menyertai Kajian Keupayaan Berdikari dari Segi Kewangan dan Prestasi Tinggi bagi Badan Berkanun Negeri serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) pada tahun ini.
“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada agenda transformasi Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh tadbir urus, prestasi institusi dan kemampanan kewangan Perusahaan Milik Kerajaan Negeri Sarawak (SOE),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen UTS Kali Ke-11 di Dewan Canselor Tun Abdul Taib, UTS, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, menerusi Program Transformasi SOE Sarawak, UTS telah membangunkan dan mengemukakan strategi menyeluruh, inisiatif utama serta unjuran kewangan bagi menyokong pertumbuhan masa depannya.
Katanya, UTS turut memberi komitmen untuk melaksanakan strategi berkenaan seperti yang digariskan dalam Transformation Playbook.
“Usaha itu menyasarkan daya tahan kewangan lebih kukuh, peningkatan kecekapan operasi dan produktiviti serta amalan tadbir urus yang lebih mantap menjelang 2030,” katanya.
Menurutnya, transformasi SOE amat penting bagi merealisasikan aspirasi pembangunan Sarawak, selain memastikan sumber awam mampu menjana pulangan ekonomi dan sosial yang mampan.
Beliau berkata, perusahaan milik kerajaan negeri bukan sekadar bertanggungjawab melaksanakan dasar kerajaan, malah menjadi pemacu penting pertumbuhan ekonomi, pelaburan, pembangunan infrastruktur, pengangkutan, transformasi digital dan kemajuan sosial.
“Sehubungan itu, sumbangan SOE termasuk UTS amat diperlukan dalam membantu Sarawak mencapai sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM282 bilion menjelang 2030,” katanya.
Abang Johari berkata, sebagai universiti milik Sarawak, UTS juga perlu terus berperanan sebagai pusat pembangunan ilmu, penyelidikan, inovasi dan bakat.
Katanya, universiti itu perlu melahirkan graduan berpengetahuan, berkemahiran praktikal dan memiliki nilai profesional bagi memenuhi keperluan industri yang sentiasa berkembang.
“Justeru, UTS perlu meletakkan dirinya sebagai institusi strategik yang mampu melahirkan bakat bersedia menghadapi keperluan masa depan, memajukan penyelidikan dan inovasi serta menyokong peralihan Sarawak ke arah ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya lagi.
Pada majlis konvokesyen itu, seramai 586 graduan menerima ijazah masing-masing, terdiri daripada 34 graduan pascasiswazah dan 552 graduan ijazah sarjana muda.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian, Nicholas Goh Kah Tung menerima Anugerah Canselor, manakala Agnes Lu Siau Ling dan Pamela Louis masing-masing menerima Anugerah Akademik.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UTS, Datuk Dr Annuar Rapaee dan Pengerusi Lembaga Gabenor UTS, Profesor Emeritus Dato’ Dr Abdul Hakim Juri dan Naib Canselor UTS, Profesor Ir Ts Dr Mohammad Shahril Osman.
Oleh Akun Giman




