TEBEDU, 14 November: Seramai 90 tahanan imigresen warga Indonesia dari Depot Imigresen Semuja dipindahkan ke negara asal melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu, di sini, semalam.
Pemindahan melalui laluan darat itu melibatkan 69 lelaki dewasa dan 21 perempuan dewasa, bermula 8.00 pagi dengan kawalan serta pengiringan pegawai imigresen.
Menurut kenyataan Jabatan Imigresen (JIM) Sarawak, penyerahan kesemua tahanan berkenaan disempurnakan kepada Konsul Jeneral Republik Indonesia, Dr Abdullah Zulkifli, dengan turut disaksikan Kepala Kanselerai, Musa Derek Sairwona dan Staf Teknis Imigrasi, Dimas Pramudito dari Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kuching.

Bagi memastikan kelancaran operasi, pemindahan berkenaan menggunakan kenderaan jabatan serta bas sewaan bagi membawa kesemua tahanan dari Depot Imigresen Semuja ke ICQS Tebedu.
Menurut kenyataan itu, keseluruhan proses pemindahan dan penyerahan berjaya dilaksanakan dengan selamat serta terkawal hasil kerjasama dan koordinasi antara JIM Sarawak dengan pihak Konsulat Jeneral Republik Indonesia.
JIM Sarawak turut menegaskan komitmennya untuk memastikan pengurusan serta pemindahan tahanan imigresen dilaksanakan secara teratur, berintegriti dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Oleh Afiq Sallehi



