SPAOH, 14 November: Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Bukit Saban di Spaoh terus memperkukuh peranannya sebagai platform penting dalam meningkatkan kesejahteraan golongan warga emas menerusi pelbagai aktiviti sosial, rekreasi, kerohanian dan pembelajaran sepanjang hayat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, penubuhan pusat berkenaan membuktikan komitmen serta keprihatinan kerajaan dalam memastikan kebajikan warga emas sentiasa diberi perhatian.
Menurutnya, PAWE bukan sekadar tempat untuk warga emas berkumpul, sebaliknya menjadi ruang bagi mereka berinteraksi, mengeratkan silaturahim dan terus melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan.
“Kewujudan PAWE menunjukkan bahawa kita sentiasa mengambil berat tentang kebajikan warga emas. Kita mahu mereka mempunyai tempat untuk berkumpul, menjalankan aktiviti dan terus berinteraksi dengan masyarakat.
“Pusat ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya supaya warga emas dapat kekal aktif, sihat dan menikmati kehidupan yang lebih berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan PAWE Bukit Saban sempena Sambutan Hari Warga Emas di Dewan Masyarakat Spaoh, semalam.
PAWE Bukit Saban ditubuhkan pada 19 September 2025 dan didaftarkan secara rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), sebelum mula beroperasi pada 10 Mac 2026 di Pekan Spaoh.
Pusat itu menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada ahli, antaranya senamrobik, berjalan pantas, senaman kesihatan, kelas buta huruf, anyaman bakul, karaoke, permainan dalaman, pembelajaran tarian serta aktiviti sosial dan gotong-royong.
Uggah yang juga Penyandang Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban berharap PAWE berkenaan mampu berkembang menjadi antara pusat aktiviti warga emas terbaik di Sarawak.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan bahawa keperluan peralatan bersesuaian akan diberi perhatian bagi mempertingkatkan kemudahan dan keberkesanan pelaksanaan aktiviti di pusat berkenaan.
“Saya berharap PAWE Bukit Saban dapat menjadi antara pusat terbaik di Sarawak. Kita akan memastikan kemudahan dan peralatan yang bersesuaian disediakan bagi membolehkan lebih banyak aktiviti dilaksanakan.
“Yang penting, pusat ini perlu sentiasa aktif dan memberi manfaat kepada warga emas yang menjadi ahlinya,” katanya.
PAWE Bukit Saban merupakan pusat keenam seumpamanya di Bahagian Betong selepas penubuhan PAWE Betong, Debak, Pusa, Beladin dan Kabong.
Perasmian itu turut dihadiri Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Semawi Mohammad; Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas serta isteri Uggah, Datin Amar Dato Doreen Mayang.
Oleh Adi Safarman



