Pusat Agape perluas kemudahan pendidikan, terapi kanak-kanak autisme

Facebook
WhatsApp
UNTUK ALBUM…Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika merasmikan bangunan baharu Persatuan Autisme Sibu, bersempena ulang tahun ke-20 penubuhannya, hari ini.

SIBU, 14 November: Pusat Agape Sibu terus memperluas kemudahan pendidikan dan terapi untuk kanak-kanak berkeperluan khas menerusi pembukaan blok pendidikan baharu Persatuan Autisme Sibu, bersempena ulang tahun ke-20 penubuhannya.

Pengerusi Persatuan Perkhidmatan Komuniti Sibu, Datuk Tiong Thai King berkata, pembangunan itu mencerminkan komitmen berterusan pusat berkenaan dalam menyesuaikan kemudahan dengan keperluan kanak-kanak berkeperluan khas serta keluarga mereka.

“Apabila Pusat Agape mula beroperasi di Jalan Alan pada 2006, kami hanya mempunyai sebuah bangunan utama dan satu visi untuk masa depan. Namun, seiring dengan peningkatan keperluan masyarakat, Pusat Agape turut berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pembukaan bangunan baharu itu yang dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini, hari ini.

Menurutnya, penubuhan Pusat Agape bermula daripada inisiatif komuniti di Hospital Lau King Howe yang diterajui Dato Sri Wong Soon Koh bersama Pasukan Berwawasan Sibu dan beberapa pemimpin masyarakat lain bagi menyelaraskan penyediaan perkhidmatan komuniti.

“Daripada sebuah bangunan utama, pusat ini kini menghimpunkan lima organisasi di bawah satu bumbung, iaitu Persatuan Kanak-Kanak Berkeperluan Khas Sibu, Pusat Jagaan Methodist, Persatuan Autisme Sibu, Olimpik Khas Sarawak (Cawangan Sibu) dan Klinik Kanak-Kanak Memorial Lau King Howe.

“Walaupun masing-masing mempunyai fungsi tersendiri, kelima-lima organisasi ini berkongsi matlamat untuk membantu golongan memerlukan, menyediakan sokongan kepada keluarga serta membuka peluang kepada individu berkeperluan khas mengembangkan potensi diri,” tambahnya.

Usaha memperluas kemudahan turut diteruskan pada 2021 apabila Persatuan Kanak-Kanak Berkeperluan Khas Sibu bersama Pusat Jagaan Methodist meningkatkan kemudahan masing-masing bagi menyediakan lebih banyak peluang latihan vokasional dan pembangunan kemahiran.

Dalam pada itu, Tiong berkata, bangunan baharu berkenaan dinamakan sempena mendiang Puan Sri Datuk Amar Hajah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang sebagai penghormatan terhadap sifat penyayang dan keprihatinan beliau terhadap kanak-kanak serta keluarga, khususnya golongan berkeperluan khas.

Selain memperluas kemudahan pendidikan dan terapi, beliau turut mencadangkan pembinaan jejantas pejalan kaki yang menghubungkan Pusat Agape dengan Kompleks Sukan Tun Tuanku Haji Bujang bagi menyediakan laluan lebih selamat kepada kanak-kanak untuk mengakses kemudahan sukan dan rekreasi.

Beliau berharap kerajaan Sarawak dapat mempertimbangkan cadangan itu bagi meningkatkan keselamatan pengguna, selain memudahkan golongan berkeperluan khas mengakses kemudahan awam.

“Kami berhasrat untuk terus menjadi platform kerjasama antara organisasi bagi memastikan kanak-kanak berkeperluan khas mendapat peluang untuk berkembang, manakala keluarga mereka menerima sokongan sewajarnya,” katanya.

Oleh Tarani Lanting