KUALA LUMPUR, 14 November: Pergerakan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di luar kediamannya selama hampir lapan jam semalam adalah bagi memenuhi beberapa urusan termasuk pemeriksaan kesihatan, solat Jumaat dan program pemulihan, menurut Jabatan Penjara.
Dalam kenyataan semalam, jabatan itu memaklumkan bahawa pergerakan Najib bermula pada 10.25 pagi hingga 6.25 petang dan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) serta syarat tahanan rumah yang ditetapkan.
Menurut kenyataan itu, sepanjang tempoh berkenaan, Najib menghadiri janji temu pemeriksaan kesihatan bagi mendapatkan rawatan susulan di Jabatan Ortopedik, Hospital Kuala Lumpur.
Beliau kemudian menunaikan solat Jumaat di Masjid Penjara Kajang, sebelum mengikuti sesi pengajian al-Quran bersama ustaz daripada Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) dan menghadiri sesi kaunseling bersama pegawai psikologi di penjara berkenaan.
“Setelah selesai semua urusan tersebut, beliau telah dibawa pulang dari Penjara Kajang pada 5.50 petang dan sampai ke rumah di Jalan Langgak Duta pada 6.25 petang,” menurut kenyataan itu.
Jabatan Penjara memaklumkan bahawa pergerakan Najib dilaksanakan berdasarkan urusan dan keperluan yang ditetapkan, selain tertakluk kepada kawalan serta seliaan jabatan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, aktiviti keagamaan, rawatan kesihatan serta program pemulihan dan intervensi merupakan antara aspek yang diberikan perhatian dalam pengurusan individu yang sedang menjalani hukuman.
“Jabatan Penjara akan terus memastikan segala urusan berkaitan dilaksanakan secara teratur, profesional dan mematuhi ketetapan yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, media melaporkan Najib dilihat meninggalkan kediamannya di Jalan Langgak Duta pada sebelah pagi dan hanya kembali pada lewat petang, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tujuan serta tempoh pergerakannya di luar kediaman. – Bernama





