Polis potong bekalan elektrik premis disyaki jalankan perjudian haram

Facebook
WhatsApp
METER elektrik di sebuah premis perniagaan di Bau yang dipotong bekalannya kerana disyaki digunakan untuk kegiatan perjudian haram.

BAU, 13 November: Polis dengan kerjasama Sarawak Energy Berhad (SEB) memotong bekalan elektrik sebuah premis perniagaan yang disyaki digunakan untuk menjalankan aktiviti perjudian haram di sini.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman berkata, operasi itu dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau kira-kira 3.05 petang hari ini.

Beliau berkata, tindakan berkenaan diambil mengikut Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, susulan laporan polis Bau/3726/2026.

Operasi itu melibatkan tiga anggota SEB dan berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Mohd Haide berkata, pihak polis akan terus mempergiat usaha penguatkuasaan dengan kerjasama agensi berkaitan bagi membanteras kegiatan perjudian haram serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terbabit dalam sebarang bentuk aktiviti perjudian.