20 peserta dalami seni tenunan Pua Ikat, warisan Iban terus diperkasa

Facebook
WhatsApp
PENGANJURAN Bengkel Kemahiran Asas Tenunan Pua Ikat di Rumah Panjang Kechendai Untan, Jaloh, Ulu Layar, yang berjaya menarik penyertaan seramai 20 peserta. Foto: Douglas Uggah Embas Official

BETONG, 13 November: Warisan seni tenunan Pua Ikat masyarakat Iban terus diperkasa menerusi usaha melahirkan lebih ramai pewaris yang mampu mengekalkan kemahiran kraftangan tradisional itu agar tidak ditelan zaman.

Usaha tersebut diterjemahkan menerusi penganjuran Bengkel Kemahiran Asas Tenunan Pua Ikat di Rumah Panjang Kechendai Untan, Jaloh, Ulu Layar, yang berjaya menarik penyertaan seramai 20 peserta.

Bengkel selama lima hari bermula 9 November hingga hari ini itu dianjurkan oleh Pusat Khidmat ADUN N.37 Bukit Saban dengan kerjasama Perbadanan Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak.

Program berkenaan bukan sahaja memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik asas tenunan, malah membuka ruang untuk mereka memahami proses penghasilan Pua Ikat yang memerlukan ketelitian, kesabaran dan kemahiran khusus.

Peserta, Remai Dangih, berkata penyertaannya merupakan peluang keemasan untuk mendalami seni tenunan yang sekian lama diminatinya.

Menurutnya, pembelajaran secara praktikal membolehkannya memahami dengan lebih dekat setiap proses penghasilan Pua Ikat, sekali gus meningkatkan pengetahuan mengenai warisan budaya masyarakat Iban.

Seorang lagi peserta, Janta Kechendai, menyifatkan bengkel itu sebagai pengalaman bermakna kerana memberinya peluang menimba ilmu serta menguasai kemahiran baharu yang boleh dimanfaatkan pada masa hadapan.

Bagi Mah James Budit pula, meskipun teknik tenunan berkenaan memerlukan masa untuk dikuasai, pengalaman mempelajari seni tradisional yang mempunyai nilai warisan tersendiri memberikan kepuasan kepadanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Perbadanan Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak, Dayang Mordiana Abang Ahmad, berkata pendedahan menerusi bengkel seumpama itu amat penting bagi memastikan kemahiran tenunan tradisional terus dipelihara dan diwarisi generasi muda.

Katanya, Perbadanan Kraftangan Malaysia turut menyediakan kampus satelit di Betong bagi membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda untuk mempelajari seni tenunan Pua Ikat secara lebih mendalam.

Selain latihan kemahiran, pelbagai inisiatif turut dilaksanakan termasuk Program Pembangunan Kraf Komuniti dan Satu Daerah Satu Industri (SDSI) bagi membantu peserta meningkatkan kemahiran serta meneroka potensi keusahawanan dalam bidang kraftangan.

Beliau berharap lebih ramai masyarakat, khususnya golongan muda, tampil mempelajari seni tenunan itu supaya warisan Pua Ikat terus berkembang dan tidak sekadar menjadi tinggalan sejarah.

Kehadiran Datin Amar Dato Doreen Mayang yang juga Penaung Kelab Kebudayaan Bukit Saban turut memperlihatkan sokongan terhadap usaha memperluas peluang masyarakat setempat mengembangkan bakat dan potensi dalam bidang kraftangan.

Melalui usaha berterusan seumpama itu, seni tenunan Pua Ikat bukan sahaja dapat dipertahankan sebagai identiti budaya masyarakat Iban, malah berpotensi menjadi sumber ekonomi dan kebanggaan generasi akan datang.

Oleh Adi Safarman