JAKKSA santuni penduduk Rumah Maluda, sumbang bakul makanan dan tongkat

Facebook
WhatsApp
GERALD (lima kiri) merakamkan gambar bersama penerima sumbangan Program Ziarah Prihatin di Rumah Maluda, Kampung Ibol, hari ini. Foto: JAKKSA

SIMANGGANG, 13 November: Keprihatinan terhadap kebajikan dan kesihatan masyarakat terus dizahirkan Jawatankuasa Amal dan Kesihatan Komuniti Sri Aman (JAKKSA) menerusi penganjuran Program Ziarah Prihatin di Rumah Maluda, Kampung Ibol, di sini, hari ini.

Program yang diketuai Pengerusi JAKKSA, Gerald Empaling itu menyaksikan penyerahan sumbangan bakul makanan serta alat bantuan pergerakan jenis tongkat berkaki empat (quad cane) kepada beberapa penduduk yang dikenal pasti memerlukan bantuan.

GERALD menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada salah seorang penerima. Foto: JAKKSA

Menurut Gerald yang juga seorang peguam, program berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan JAKKSA dalam membantu golongan memerlukan, sejak jawatankuasa itu mula aktif menjalankan khidmat masyarakat kira-kira lima tahun lalu.

Beliau berkata, usaha berkenaan bukan sekadar menyampaikan bantuan berbentuk keperluan asas, malah turut bertujuan mendekati masyarakat serta memastikan kebajikan dan aspek kesihatan komuniti setempat terus mendapat perhatian.

“Kita berharap sumbangan yang tidak seberapa ini dapat meringankan beban serta memberi manfaat kepada para penerima dalam menjalani kehidupan seharian,” katanya.

Beliau turut menggalakkan penduduk kampung agar tidak teragak-agak menghubungi pihak JAKKSA sekiranya memerlukan bantuan kebajikan pada masa akan datang.

Sementara itu, Tuai Rumah Maluda Mana merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada JAKKSA atas keprihatinan serta kesudian mengadakan program berkenaan di rumah panjang tersebut.

Menurutnya, sumbangan yang disampaikan bukan hanya dinilai dari segi material, sebaliknya membawa mesej keprihatinan, kasih sayang dan semangat saling membantu dalam masyarakat.

Beliau berharap program kebajikan seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memastikan kesejahteraan penduduk terus terbela.

Terdahulu, rombongan JAKKSA disambut mesra oleh Tuai Rumah, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta penduduk Rumah Maluda.

Kunjungan itu turut diisi dengan sesi ramah mesra kira-kira sejam sebelum rombongan berkenaan bertolak pulang.

Oleh Adi Safarman