AirBorneo sasar buka laluan Kuching-Bangkok sekitar April 2027

Facebook
WhatsApp
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika ditemui pemberita pada majlis pelepasan penerbangan sulung AirBorneo bagi laluan Kuching-Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, hari ini.

KUCHING, 13 November: AirBorneo menyasarkan untuk membuka laluan penerbangan terus Kuching-Bangkok sekitar April tahun depan, sebagai sebahagian usaha memperluas jaringan penerbangan antarabangsa Sarawak menjelang temasya Sukan SEA 2027.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perbincangan bagi mendapatkan hak pendaratan di Bangkok telahpun berlangsung, sekali gus membuka peluang kepada syarikat penerbangan milik negeri itu untuk meneroka pasaran Thailand.

Beliau berkata, pembukaan laluan berkenaan turut disasarkan bagi menyokong pergerakan pengunjung dan delegasi sempena Sukan SEA 2027, khususnya memandangkan Sarawak akan menjadi antara lokasi penganjuran temasya sukan dwitahunan itu.

“Bangkok pun sebenarnya sudah ada perbincangan untuk mendapatkan hak pendaratan di sana. Saya rasa mungkin suku pertama tahun depan, sekitar April,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis pelepasan penerbangan sulung AirBorneo bagi laluan Kuching-Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, di sini, hari ini.

Menurut Abang Johari, Sarawak turut berhasrat menjadikan AirBorneo sebagai antara syarikat penerbangan rasmi bagi Sukan SEA 2027, terutama bagi menyokong keperluan pengangkutan udara sepanjang temasya itu berlangsung.

Katanya, usaha berkenaan akan dibincangkan bersama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

PENERBANGAN sulung AirBorneo bagi laluan Kuching-Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, hari ini.

“Kita menyasarkan AirBorneo menjadi salah satu pengangkutan rasmi Sukan SEA kerana majlis perasmian akan berlangsung di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, peluasan rangkaian penerbangan itu juga bergantung kepada pertambahan kapasiti pesawat AirBorneo daripada dua kepada sekurang-kurangnya lima.

Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari berkata Korea Selatan turut dikenal pasti sebagai destinasi berpotensi untuk diteroka, dengan Seoul dan Pulau Jeju antara lokasi yang sedang dipertimbangkan.

Katanya, penerbangan ke Korea Selatan bagaimanapun dijangka hanya dapat direalisasikan menjelang 2027 bagi membolehkan persediaan dan penilaian pasaran dilakukan terlebih dahulu.

Beliau berkata, potensi pasaran Korea Selatan bukan sahaja tertumpu kepada pelancongan, malah boleh diperluas kepada aktiviti sukan golf dan seni persembahan, termasuk tarikan budaya popular negara itu.

“Kita tidak mahu tergesa-gesa. Takut nanti ramai orang Sarawak pergi ke Korea,” katanya berseloroh.

Oleh Shahrul Qaizat