AirBorneo rasmi lancar penerbangan terus Kuching-Jakarta

Facebook
WhatsApp
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika ditemui pemberita pada majlis pelepasan penerbangan sulung AirBorneo bagi laluan Kuching-Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, hari ini.

KUCHING, 13 November: AirBorneo secara rasmi melancarkan penerbangan terus Kuching-Jakarta hari ini, sekali gus memperluas jaringan penerbangan antarabangsanya dan menjadikan ibu negara Indonesia itu destinasi kedua dalam rangkaian ASEAN syarikat penerbangan milik Sarawak berkenaan selepas Singapura.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembukaan laluan itu merupakan langkah penting dalam usaha memperkukuh hubungan udara Sarawak dengan pasaran serantau, khususnya dalam sektor pelancongan, perniagaan dan perkhidmatan kesihatan.

Beliau berkata, pengembangan rangkaian penerbangan AirBorneo akan diteruskan secara berperingkat selaras dengan pertambahan kapasiti pesawat syarikat itu.

“Ini adalah destinasi kedua selepas Singapura dalam laluan ASEAN kita. Selepas ini, apabila pesawat kita bertambah, kita juga akan melihat kemungkinan untuk terbang ke Bangkok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis pelepasan penerbangan sulung AirBorneo bagi laluan Kuching-Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, di sini, hari ini.

Menurut Abang Johari, AirBorneo menyasarkan untuk meningkatkan jumlah pesawat daripada dua kepada sekurang-kurangnya lima buah bagi membolehkan syarikat itu meneroka lebih banyak destinasi yang mempunyai potensi pelancongan dan ekonomi.

Katanya, hubungan udara terus dengan Jakarta juga berpotensi menyokong sektor pelancongan kesihatan, khususnya dengan menarik pesakit dari Indonesia mendapatkan rawatan di hospital swasta di Sarawak.

Beliau berkata, usaha itu perlu disokong dengan peningkatan kemudahan penginapan dan persidangan bagi membolehkan Sarawak menjadi destinasi yang lebih berdaya saing untuk pelancongan serta penganjuran acara antarabangsa.

DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg beramah mesra dan bersalaman dengan penumpang penerbangan sulung AirBorneo bagi laluan Kuching-Jakarta sebelum berlepas, hari ini.

“Ketika ini kita juga sedang menambah hotel. Sebuah hotel antarabangsa sedang dibina di Jalan Ban Hock dan satu lagi di kawasan Ting Ting, selain dua lagi hotel antarabangsa yang dirancang.

“Kita juga menambah kemudahan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) supaya mempunyai kapasiti mencukupi untuk menganjurkan acara antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan kemudahan berkenaan akan melengkapi jaringan penerbangan yang semakin berkembang, sekali gus memberi limpahan kepada industri pelancongan dan perkhidmatan negeri.

AirBorneo sebelum ini mengumumkan penerbangan terus Kuching-Jakarta akan beroperasi tiga kali seminggu, iaitu setiap Isnin, Jumaat dan Ahad, dengan penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.

Tambang sehala termasuk semua caj ditawarkan bermula RM399 bagi kelas Ekonomi dan RM888 bagi kelas Perniagaan.

Penerbangan MY396 dijadualkan berlepas dari Kuching pada 3.10 petang, manakala penerbangan pulang MY397 berlepas dari Jakarta pada 4.55 petang waktu tempatan.

Sebelum ini, AirBorneo turut memulakan laluan antarabangsa Kuching-Singapura pada 22 Julai lalu dengan tambang sehala bermula RM399 bagi kelas Ekonomi dan RM871 bagi kelas Perniagaan.

Oleh Shahrul Qaizat