KUALA LUMPUR, 13 November: Meneruskan rentak cemerlang pada kejohanan badminton Masters Jepun 2026, beregu lelaki kebangsaan Aaron Tai dan Yap Roy King bakal berdepan gandingan Denmark Daniel Lundgaard dan Mads Vestergaard bagi merebut tempat di final.
Aaron dan Roy King, yang menduduki ranking ke-57 dunia, mara ke separuh akhir usai menewaskan pasangan ranking ke-15 dunia dari Taiwan Lee Jhe-Huei dan Yang Po-Hsuan, 21-16, 21-12, dalam tempoh 28 minit di Gimnasium Wilayah Kumamoto, hari ini.
Mereka kini memburu penampilan kedua perlawanan akhir selepas menjuarai Terbuka Artik 2026 di Vantaa, Finland sebaik sahaja digandingkan bulan lepas.
Sementara itu, Lundgaard dan Mads Vestergaard mengetepikan wakil tuan rumah Hiroki Okamura-Kyohei Yamashita, 21-14, 21-14.
Kejohanan bertaraf Super 500 itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai AS$500,000 (kira-kira RM2.04 juta).- Bernama





