DARO, 13 November: Seramai 16 murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pangtray, di sini berjaya menyempurnakan bacaan al-Quran menerusi Majlis Khatam al-Quran yang diadakan di sekolah tersebut, hari ini.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, kejayaan itu mencerminkan kesungguhan dan komitmen murid dalam mendalami ilmu al-Quran sejak di bangku sekolah rendah.
Menurutnya, al-Quran bukan sekadar untuk dibaca dan dikhatamkan, sebaliknya perlu difahami, dihayati serta diamalkan dalam kehidupan seharian.

“Jadikan al-Quran sebagai panduan hidup, bukan sekadar bacaan di bibir, tetapi pedoman dalam setiap langkah kehidupan,” ujarnya ketika berucap menyempurnakan majlis perasmian penangguhan program tersebut.
Ahmad Johnie turut mengucapkan tahniah kepada semua murid yang berjaya menamatkan bacaan al-Quran dan berharap pencapaian itu menjadi pendorong untuk mereka terus mendalami dan mengamalkan ajaran Islam.
Menurutnya, penghayatan nilai-nilai al-Quran amat penting dalam membentuk akhlak, sahsiah dan keperibadian generasi muda yang berilmu dan berpekerti mulia.


Beliau merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah, guru-guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kg Pangtray atas komitmen dan kerjasama dalam menjayakan program pendidikan dan pembangunan sahsiah murid.
Turut hadir ialah Guru Besar SK Kampung Pangtray, Mohd Hafiq Weina, wakil Pejabat Pendidikan Daerah Daro, Ustaz Ismail Majelis, Yang Dipertua PIBG, Nur Rasidah Radin, Pemangku Timbalan Ketua Bahagian Tabung Baitulmal Sarawak Cawangan Daro, Mohamad Nurfitri Jaidil, Penghulu Jebli Ngok dan Ketua Kaum Shamshiah Saibi.
Oleh Akun Giman




