Wanita Serian rugi RM2,600 akibat penipuan jual beli kereta dalam talian

Facebook
WhatsApp
IKLAN penjualan kereta dalam talian yang menawarkan harga menarik boleh memperdaya pembeli sehingga mengalami kerugian akibat penipuan pembayaran deposit. Foto olahan AI

SERIAN, 12 November: Seorang suri rumah mengalami kerugian sebanyak RM2,600 selepas menjadi mangsa penipuan urusan jual beli kereta dalam talian melibatkan sebuah Perodua Ativa yang diiklankan menerusi Facebook.

Ketua Polis Daerah Serian Superintenden Freddy Bian Stanislaus Bian berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kes berkenaan selepas mangsa tertarik dengan iklan penjualan kenderaan itu pada harga RM29,520.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa telah menghubungi seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai ejen jualan kereta untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kenderaan tersebut.

Mangsa kemudian diarahkan membayar wang deposit sebanyak RM2,600 ke dalam akaun bank yang diberikan oleh individu berkenaan.

Bagaimanapun, selepas menerima bayaran itu, suspek meminta mangsa membuat bayaran tambahan sebanyak RM2,600 sebelum membenarkannya melihat keadaan fizikal kenderaan berkenaan.

Menyedari kemungkinan dirinya telah ditipu, mangsa enggan membuat bayaran tambahan lalu tampil membuat laporan polis.

Mangsa mengalami kerugian sebanyak RM2,600 akibat kejadian itu.

Freddy berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terlibat serta mengesan akaun bank yang digunakan dalam transaksi tersebut.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan jualan kenderaan dalam talian yang menawarkan harga terlalu murah atau tidak munasabah.

Pembeli juga dinasihatkan supaya membuat semakan latar belakang penjual serta mengesahkan kewujudan dan keadaan sebenar kenderaan sebelum melakukan sebarang pembayaran.

Orang ramai turut diingatkan supaya mengelakkan pembayaran deposit ke akaun bank individu yang identitinya tidak dapat disahkan serta tidak berkongsi salinan kad pengenalan atau maklumat peribadi dengan pihak yang tidak dikenali.

Mereka juga perlu berwaspada terhadap permintaan bayaran tambahan yang mencurigakan selepas pembayaran awal dibuat.

Sekiranya menjadi mangsa penipuan dalam talian, orang ramai dinasihatkan supaya segera menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 dan membuat laporan polis.

Orang ramai juga boleh menyemak akaun bank serta nombor telefon yang disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan menerusi portal Semak Mule Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.