KUCHING, 13 November: Seramai 35 daripada 46 individu yang ditahan menerusi operasi pengesanan Orang Yang Disyaki (OYDS) dalam Ops Cegah Bil. 77/2026 oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuching didapati positif saringan dadah.
Menurut kenyataan AADK Daerah Kuching, operasi selama tiga hari yang berakhir kelmarin itu dilaksanakan di 11 lokasi sekitar Kuching, melibatkan Satok, Semerah Padi, Semariang Batu, Batu Kawa, Sungai Lumut, Rampangi, Bandar Baru Semariang, Taman Putri, Petanak, Kampung No. 3 dan Padungan.
Daripada keseluruhan 46 individu yang ditahan, seramai 35 individu didapati positif saringan, manakala 11 lagi negatif.
Kesemua 35 individu yang positif saringan merupakan lelaki, dengan kumpulan umur 19 hingga 40 tahun mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 26 orang.
Mereka diikuti tujuh individu berumur 41 hingga 50 tahun, manakala dua lagi berusia antara 13 hingga 18 tahun.
Saringan turut mengesan beberapa jenis bahan terlarang, termasuk methamphetamine (METH), marijuana (THC), benzodiazepine (BENZO), ketamin dan ketum.
Methamphetamine mencatatkan jumlah tertinggi apabila 33 individu didapati positif bahan berkenaan.
Bagaimanapun, tiada rampasan dadah direkodkan sepanjang operasi tersebut. Tindakan lanjut telah diambil terhadap kesemua 35 individu yang positif saringan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.
AADK Daerah Kuching menegaskan komitmennya untuk terus mempergiat usaha pengesanan, pencegahan, rawatan dan pemulihan bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah, serta memastikan kesejahteraan komuniti terus terpelihara.
Oleh Adi Safarman





