SIBU, 13 November: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) diingatkan supaya tidak mudah melatah dengan kritikan dan provokasi di media sosial yang lazimnya meningkat menjelang musim pilihan raya.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, pemimpin akar umbi perlu bersikap matang dalam menangani kritikan kerana tidak semua pandangan yang disuarakan masyarakat harus dianggap sebagai serangan peribadi.
Menurutnya, kritikan sebaliknya perlu dilihat sebagai peluang untuk mengenal pasti kelemahan dan memperbaiki mutu kepimpinan serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Suasana menjelang pilihan raya lazimnya menyaksikan peningkatan pelbagai pandangan dan kritikan. Namun, kita tidak seharusnya mudah melatah atau terheret dalam pertelingkahan yang tidak membawa manfaat.
“Media sosial sangat berkuasa. Apa sahaja yang ditulis boleh tersebar ke seluruh dunia dalam masa singkat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian dan penutupan Program Peningkatan Profesionalisme Institusi Kampung dan Masyarakat DUN N.55 Nangka Tahun 2026 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Dr Annuar berkata, KMKK perlu bijak menilai setiap komen yang diterima, mengambil kira perkara yang dibangkitkan dan mengambil tindakan sewajarnya tanpa perlu membalas setiap provokasi secara terbuka.
Katanya, beliau sendiri mengambil pendekatan meneliti komen masyarakat di media sosial, termasuk menggunakan maklum balas berkenaan sebagai panduan untuk memperbaiki kelemahan dan mengambil tindakan yang diperlukan.
“Tindakan membalas setiap provokasi hanya akan memanjangkan pertelingkahan dan kita tidak akan dapat menghentikannya jika terus melayan perkara sedemikian,” ujarnya lagi.
Menurutnya, pemimpin masyarakat perlu kekal fokus terhadap tanggungjawab utama mereka, iaitu mendekati rakyat, mendengar permasalahan penduduk serta membantu mencari penyelesaian.
Beliau turut mengingatkan KMKK supaya memahami dasar dan hala tuju kerajaan agar dapat membantu menyampaikan maklumat tepat kepada penduduk serta memastikan inisiatif pembangunan sampai kepada golongan sasaran.
Katanya, perpaduan dan kerjasama antara kaum perlu terus dipelihara walaupun masyarakat mempunyai latar belakang serta pandangan berbeza.
Turut hadir Timbalan Residen Bahagian Sibu, Christopher Ranggau Unting dan Pegawai Daerah Sibu, Tsong Chow Choon.
Oleh Akun Giman





