KUCHING, 13 November: Penggunaan teknologi geospatial menerusi integrasi Sistem Maklumat Geografi (GIS), Sistem Penentududukan Sejagat (GPS) dan imej satelit bakal memperkukuh pemantauan serta perancangan pembangunan industri lada di Sarawak.
Lembaga Lada Malaysia (MPB) dalam kenyataannya memaklumkan, teknologi berkenaan membolehkan lokasi, keluasan dan taburan kawasan penanaman lada dikenal pasti, dipetakan serta dianalisis secara digital dengan lebih sistematik.
Data yang diperoleh bukan sahaja membantu meningkatkan ketepatan maklumat kawasan tanaman, malah menjadi asas penting dalam merancang pembangunan industri lada yang lebih terarah, strategik dan mampan.
Usaha itu diperkasakan menerusi kerjasama strategik antara MPB dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) yang terjalin sejak pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) pada Julai 2022.
Kerjasama berkenaan kini diperluaskan ke wilayah Sarawak dengan memberi tumpuan kepada aktiviti praktikal serta pemurnian data geospatial menerusi bengkel yang berlangsung di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sepanjang bengkel tersebut, pegawai MPB berpeluang mendalami aplikasi teknologi geospatial secara praktikal, termasuk melaksanakan semakan dan pengesahan lokasi serta keluasan kawasan penanaman lada dengan bimbingan pegawai MYSA.
Proses berkenaan turut melibatkan analisis imej satelit dan penelitian data bagi memastikan maklumat yang dikumpulkan lebih tepat, menyeluruh serta mempunyai tahap integriti yang tinggi.
Menurut MPB, pemantapan maklumat geospatial itu diharap dapat meningkatkan keupayaan pemantauan kawasan penanaman, sekali gus menyokong perancangan pembangunan industri lada secara lebih berkesan.
Untuk rekod, MPB dengan kerjasama MYSA sebelum ini berjaya melengkapkan aktiviti pemetaan kawasan penanaman lada di wilayah Semenanjung Malaysia dan Sabah.
Perluasan inisiatif ke Sarawak menjadi langkah penting dalam memperkukuh pangkalan data geospatial industri lada negara, khususnya bagi memastikan pembangunan sektor berkenaan dilaksanakan berasaskan maklumat yang tepat dan menyeluruh.
Oleh Adi Safarman




