GENEVA, Switzerland, 13 November: Sebutir batu nilam seberat 198 karat yang pernah menjadi sebahagian daripada permata mahkota diraja Rusia berjaya dijual pada harga AS$4.9 juta dalam satu lelongan di Geneva, lebih dua kali ganda daripada harga yang ditetapkan.
Rumah lelong Sotheby’s berkata, bidaan tertinggi dibuat menerusi telefon oleh seorang pengumpul barangan mewah yang tidak didedahkan identitinya.
Batu nilam Ceylon berwarna biru terang itu berukuran kira-kira tiga kali 3.5 sentimeter dan mula menjadi sebahagian daripada koleksi keluarga Romanov pada pertengahan abad ke-19.
Bagaimanapun, batu permata itu dipercayai jauh lebih tua, menurut Pengerusi Jabatan Barang Kemas Sotheby’s, Andres White Correal, kepada AFP sebelum ini.
Batu nilam itu pernah dipakai oleh Permaisuri Balu Maria Feodorovna, ibu kepada Tsar Nicholas II, ketika berlangsungnya majlis tari-menari terkenal di Istana Musim Sejuk di Saint Petersburg pada 1903.
Batu permata itu disenaraikan untuk dijual selepas Revolusi Bolshevik pada 1917 sebelum dibeli oleh penyanyi opera Poland dan tokoh masyarakat terkenal, Ganna Walska.
Batu nilam itu bertukar tangan beberapa kali sebelum akhirnya menjadi milik Cartier, yang menghasilkan rekaan gelang bertatahkan berlian seperti yang ada sekarang pada 2015.
Sotheby’s berkata, batu nilam itu pernah dijadikan kerongsang berlian oleh Fabergé.
Antara barangan utama lain yang ditawarkan dalam lelongan Sotheby’s termasuk tiara berlian hasil rekaan Mellerio serta barang kemas Cartier bertatahkan opal dan berlian yang dihasilkan untuk Mary Cavendish, Duchess of Devonshire.
Barang kemas itu pernah dipakai ketika upacara pertabalan Ratu Elizabeth II pada 1953. – AFP





