Crystal Palace pecat Sage selepas hanya lima bulan

Facebook
WhatsApp
PENGURUS Crystal Palace, Pierre Sage, sebelum perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Crystal Palace dengan Newcastle United. Foto fail AFP

LONDON, 12 November: Crystal Palace memecat pengurus dari Perancis, Pierre Sage, selepas hanya lima bulan mengendalikan kelab itu ketika pasukan berkenaan kini menghuni kedudukan tercorot Liga Perdana Inggeris.

Kekalahan 1-3 kepada Liverpool pada Ahad merupakan kekalahan keempat berturut-turut Palace dalam kempen liga musim ini. Pasukan itu hanya mencatatkan dua kemenangan daripada 10 perlawanan pembukaan. Palace juga merekodkan rekod pertahanan terburuk dalam liga apabila bolos sebanyak 24 gol setakat ini.

Palace kini berada di kedudukan ke-21 daripada 36 pasukan dalam carta Liga Europa, dengan hanya satu kemenangan daripada empat perlawanan.

“Kelab Bola Sepak Crystal Palace mengesahkan bahawa Pierre Sage telah meninggalkan jawatannya sebagai pengurus,” menurut kenyataan kelab yang dikeluarkan pada Khamis.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa tiga anggota barisan kejurulatihan Sage, iaitu Jamal Alioui, Damien Della Santa dan Sandy Guichard, juga meninggalkan Selhurst Park.

Palace berkata: “Kelab merakamkan penghargaan kepada Pierre dan barisan kejurulatihannya atas segala usaha sepanjang tempoh mereka berkhidmat di selatan London serta mendoakan kejayaan mereka pada masa hadapan.

“Perkembangan mengenai proses pelantikan pengurus baharu akan dimaklumkan kelak.”

Bekas pengurus Brentford dan Tottenham, Thomas Frank, disebut-sebut sebagai calon untuk menggantikan Sage. Pelantikan itu bakal menyaksikan pengendali dari Denmark berkenaan mengendalikan kelab ketiganya di London.

Sage, 47, yang pernah mengendalikan Lens dan Lyon, memikul tugas sukar untuk menggantikan Oliver Glasner, pengurus paling berjaya dalam sejarah Palace selepas membimbing The Eagles meraih trofi utama pertama mereka menerusi kemenangan Piala FA 2025 dan Liga Persidangan UEFA musim lalu.

Pengendali dari Austria itu meninggalkan kelab pada penghujung musim lalu selepas memutuskan untuk tidak memperbaharui kontraknya susulan pertelingkahan mengenai dasar perpindahan pemain Palace, sebelum menyertai Nottingham Forest, yang juga beraksi dalam Liga Perdana Inggeris.

Sage berjaya membimbing Lens meraih kejuaraan Piala Perancis buat kali pertama musim lalu, selain membantu pasukan dari utara Perancis itu menamatkan saingan Ligue 1 di tempat kedua di belakang Paris Saint-Germain.

Namun, nasibnya berbeza ketika mengendalikan Palace, termasuk menyaksikan pasukan itu dibelasah 5-0 oleh seteru mereka, Brighton, dalam saingan Liga Perdana Inggeris. – AFP