Kemahiran graduan tempatan mampu penuhi permintaan industri antarabangsa – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
UCAPAN… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada majlis Konvokesyen Sarawak Skills Ke-28 hari ini.

KUCHING, 12 November: Kemahiran tenaga kerja tempatan yang mampu memenuhi standard antarabangsa membuka peluang kepada anak Sarawak untuk menembusi pasaran pekerjaan global, khususnya dalam sektor berteknologi tinggi yang semakin berkembang.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi perlu diperkukuh bagi memastikan anak tempatan mampu memenuhi keperluan industri yang semakin tertumpu kepada teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi kuantum, robotik dan tenaga hijau.

PENYAMPAIAN SIJIL… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyampaikan sijil kepada graduan pada majlis Konvokesyen Sarawak Skills Ke-28.

Beliau mengambil contoh seorang anak Sarawak yang melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat sebelum berjaya mendapatkan pekerjaan di negara itu sebagai bukti bahawa tenaga kerja tempatan mempunyai keupayaan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

“Tenaga kerja kita dikehendaki oleh dunia. Kalau Amerika Syarikat memerlukannya, maknanya anak Sarawak boleh tahanlah, boleh pergi ke Amerika Syarikat untuk bekerja berdasarkan kemahiran yang dimiliki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Konvokesyen Sarawak Skills Ke-28 di sini, hari ini.

Menurut Abang Johari, Sarawak memberi penekanan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai sebahagian daripada strategi mempelbagaikan ekonomi serta menyediakan tenaga kerja terlatih dalam bidang yang mempunyai kepentingan strategik kepada pembangunan negeri.

SERAMAI 815 graduan menerima diploma dan sijil masing-masing pada majlis Konvokesyen Sarawak Skills Ke-28 yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya, perubahan landskap industri global, khususnya peralihan kepada proses pengeluaran rendah karbon dan penggunaan tenaga hijau, menuntut tenaga kerja yang mampu menguasai teknologi serta sistem pengeluaran baharu.

Beliau berkata, Sarawak mempunyai asas sumber tenaga yang membolehkan negeri ini meneroka industri hidrogen, termasuk penggunaan teknologi sel bahan api (fuel cell) yang memerlukan kepakaran khusus.

Keperluan tenaga mahir itu turut berkait rapat dengan perkembangan pelaburan teknologi antarabangsa di Sarawak, termasuk rancangan pembangunan kampus kecerdasan buatan (AI) di Tanjung Embang yang dikaitkan dengan pelaburan awal pengasas SoftBank, Masayoshi Son, berjumlah AS$1.85 bilion (kira-kira RM7 bilion).

Abang Johari berkata, beliau sendiri bertanyakan kepada Masayoshi mengenai sebab usahawan antarabangsa itu memilih Sarawak sebagai lokasi pelaburan berbanding destinasi lain.

Menurutnya, Masayoshi menyatakan bahawa selain bekalan tenaga dan sumber air, dasar pendidikan percuma yang dilaksanakan Sarawak serta keyakinan terhadap keupayaan rakyat tempatan untuk dilatih dan bersaing pada peringkat global turut menjadi antara faktor yang menarik minatnya.

Katanya, perkembangan itu menunjukkan bahawa dasar pembangunan Sarawak bukan sahaja bertujuan menarik pelaburan, malah turut membina keyakinan pelabur terhadap kemampuan modal insan tempatan untuk menyokong pertumbuhan industri berteknologi tinggi.

Sehubungan itu, kerajaan Sarawak memberi penekanan kepada pembangunan program berasaskan sains bagi melahirkan tenaga kerja yang diperlukan dalam transformasi ekonomi, termasuk bidang komunikasi satelit, kejuruteraan aeroangkasa dan teknologi kuantum.

Beliau berkata, usaha memperluas akses pendidikan tinggi menerusi inisiatif pendidikan percuma di universiti milik kerajaan Sarawak juga bertujuan memastikan lebih ramai anak tempatan berpeluang meningkatkan kelayakan akademik dan kemahiran.

Abang Johari berharap graduan Sarawak Skills dapat memanfaatkan peluang yang tersedia untuk mengembangkan kerjaya daripada peringkat juruteknik kepada jawatan lebih tinggi, termasuk sebagai jurutera dan pengurus korporat, sekali gus menyumbang kepada aspirasi menjadikan Sarawak hab ekonomi di Asia.

Oleh Afiq Sallehi