MASIH banyak ‘kerja rumah’ yang perlu diperbaiki bagi Sri Aman FA untuk tampil dengan persembahan lebih mantap lebih-lebih lagi aksi akan disambung hanya tinggal seminggu lagi.
Pengurus pasukan, Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, dengan persiapan pasukan dalam tempoh seminggu ini barisan kejurulatihan harus menggunakan ruang yang ada mencari formula terbaik bagi memperkemaskan pasukan terutamanya dalam memperbaiki setiap kelemahan.
sebelum aksi tertangguh menentang Sibu FA pada 30 Oktober ini,
Jelasnya, pemain skuad Bandar Merpati Putih itu perlu sentiasa fokus kepada latihan dan berusaha meningkatkan lagi prestasi supaya keputusan positif pada perlawanan akan datang dapat dicapai.
“Kita berusaha menggunakan sepenuhnya tempoh seminggu ini bagi memperkemaskan pasukan terutama dalam memperbaiki setiap kelemahan, supaya pasukan dapat mempamerkan aksi lebih kemas dan mantap sebaik saingan Liga SSC-FAS bersambung semula 30 Oktober ini.
“Saya menekankan betapa pemain perlu kekal fokus dan terus bekerja keras meningkatkan prestasi kerana saingan liga itu dijangka akan mencabar serta memerlukan komitmen tinggi setiap pemain,” katanya.
Sri Aman FA bakal menentang Sibu FA pada 30 Oktober ini sebaik aksi liga disambung kembali nanti.
Malah, beliau turut mengakui bahawa Sri Aman dijangka akan mampu memberikan cabaran sengit terhadap mana-mana pasukan menjelang saingan liga itu kelak.
Tambahnya lagi, barisan jurulatih yang diketuai Sufian Ibrahim dan dibantu oleh Ramos dan Ramles Sari kini masih lagi menguji kemampuan pemain-pemainnya dalam misi mencari ramuan terbaik bagi membentuk kesebelasan utama pasukan.
Awang Putrayusrie menegaskan, setiap pemain tidak akan diberi laluan mudah, sebaliknya mereka perlu membuktikan kemampuan jika mahu beraksi dalam setiap perlawanan.
“Semua pemain sangat penting untuk pasukan, namun saya tidak akan beri laluan mudah jika mahu berada dalam kesebelasan utama. Mereka perlu bersaing dan buktikan mereka benar-benar layak.
“Berdasarkan masa yang kita ada, kami perlu bersiap sedia sepenuhnya. Bagi saya, fasa untuk pemain-pemain mengenali antara satu sama lain telah berjalan dengan baik,” katanya.
Oleh ADI SAFARMAN