Polis Marin rampas rokok, minuman keras RM9.64 juta di Sibu

Facebook
WhatsApp
PESURUHJAYA Polis Sarawak CP Saifullizan Ishak bercakap pada sidang media.

KUCHING, 12 November: Pasukan Polis Marin merampas pelbagai jenis minuman keras dan rokok yang dipercayai tidak bercukai, dengan anggaran nilai keseluruhan RM9.64 juta, dalam satu operasi di sebuah jeti persendirian di Jalan Sungai Maaw, Sungai Batang Rajang, Sibu, pada 7 November lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak CP Saifullizan Ishak berkata, rampasan itu dilakukan kira-kira 8.00 pagi apabila sepasukan anggota dari Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Wilayah Lima, Sibu, bertindak atas maklumat menerusi Op Taring Pensura.

Beliau berkata, pasukan operasi yang menggunakan bot ronda PGR 8 menjalankan pemeriksaan di jeti berkenaan sebelum mengesan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah kontena.

Lelaki itu kemudian diarahkan membuka kontena berkenaan untuk pemeriksaan lanjut, yang menemukan pelbagai jenis minuman keras dan rokok yang disyaki tidak bercukai.

Bagaimanapun, lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen bagi mengesahkan kesahihan minuman keras dan rokok yang disimpan di dalam kontena itu.

Suspek kemudian ditahan manakala semua barang kes dirampas bagi membantu siasatan mengikut Akta Kastam 1967.

Kes berkenaan telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu untuk siasatan lanjut.

Saifullizan berkata, jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM9,643,952.

Beliau berkata, individu yang didapati bersalah mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana memiliki, menyimpan, menyembunyikan atau mempunyai dalam milikan barangan tidak berkastam atau barang larangan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Oleh Connie Chieng