Kawalan keselamatan di rumah Najib tanggungjawab Jabatan Penjara – KPN

Facebook
WhatsApp
KETUA Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 11 November: Jabatan Penjara bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kawalan keselamatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mula menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta di sini sejak semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai agensi penguatkuasaan undang-undang sentiasa bekerjasama rapat dengan Jabatan Penjara bagi memastikan aspek keselamatan sepanjang tempoh berkenaan dipatuhi.

“Memandangkan rumah itu terletak dalam kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, saya telah mengarahkan IPD berkenaan supaya melaksanakan pemeriksaan dan kawalan dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Bulan Integriti Peringkat PDRM 2026 di sini, hari ini.

PEMANDANGAN kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di Jalan Langgak Duta. Foto Bernama

Beliau berkata, PDRM turut menempatkan beberapa pegawai bagi membantu Jabatan Penjara sepanjang Najib menjalani baki hukuman di kediamannya.

Semalam, Najib mula menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah selepas Mahkamah Tinggi di sini memutuskan bahawa perintah berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas membatalkan perintah yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi pada 6 November lepas terhadap Najib, 73. – Bernama