AZAM dekati komuniti Rumah Panjang Jelia Kawi, kenal pasti keperluan pembangunan

Facebook
WhatsApp
PENDUDUK bersama delegasi AZAM Sarawak bergambar kenangan di hadapan kawasan penghasilan ragi tradisional di Rumah Panjang Jelia Kawi, Bintulu. Foto AZAM.

BINTULU, 11 November: Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak mengadakan lawatan kerja dan sesi dialog bersama penduduk Rumah Panjang Jelia Kawi bagi mengenal pasti keperluan, cabaran serta potensi pembangunan komuniti berkenaan.

Lawatan itu merupakan sebahagian daripada siri kunjungan kerja AZAM di Bahagian Bintulu dan disambut Tuai Rumah, William Jugah, bersama 115 penduduk daripada 15 pintu.

Menerusi sesi dialog tersebut, delegasi AZAM mendengar pandangan serta aspirasi penduduk berhubung pembangunan ekonomi, pendidikan, peluang pekerjaan, kemudahan komuniti serta penglibatan golongan belia dan wanita.

Antara keperluan yang dibangkitkan termasuk latihan keusahawanan dan kemahiran digital, selain penyediaan rumah komuniti serta gelanggang sukan bagi menyokong aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan belia.

Penduduk turut menyuarakan kebimbangan mengenai aspek keselamatan memandangkan kedudukan rumah panjang yang berhampiran jalan raya serta ketiadaan pintu pagar di kawasan berkenaan.

Dalam lawatan sama, delegasi AZAM turut diberi pendedahan mengenai kegiatan ekonomi penduduk yang merangkumi pertanian, penanaman kelapa sawit, penternakan ayam, kraftangan dan perusahaan ragi tradisional.

Menurut William, perusahaan ragi yang bermula secara kecil-kecilan pada 2001 kini berkembang dengan pasaran meliputi beberapa bandar utama di Sarawak, termasuk Bintulu, Miri, Sibu dan Kuching, selain Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun, aspek pemasaran dan reka bentuk produk masih menjadi antara cabaran yang perlu ditangani bagi membantu penduduk mengembangkan perusahaan berkenaan.

Maklumat yang diperoleh menerusi lawatan itu akan dijadikan input awal oleh AZAM untuk meneroka potensi kerjasama dengan Bintulu Port serta pihak berkepentingan lain bagi melaksanakan inisiatif yang bersesuaian dengan keperluan komuniti setempat.

Pendekatan dialog secara langsung itu turut memberi ruang kepada penduduk menyuarakan pandangan serta menentukan keutamaan pembangunan berdasarkan keperluan mereka sendiri.

AZAM Sarawak merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan dan bukan berasaskan keuntungan yang memberi tumpuan kepada komunikasi pembangunan bagi menggalakkan penyertaan masyarakat dalam usaha pembangunan negeri.