KUCHING, 11 November: Usaha memperkukuh kesejahteraan mental dalam persekitaran sekolah kini diperluas menerusi pelaksanaan Program Kesedaran dan Sokongan Kesihatan Mental di 12 sekolah sekitar Kuching.
Inisiatif yang dilaksanakan oleh Pejabat Parlimen Bandar Kuching dan Stampin itu memberi tumpuan kepada pencegahan serta intervensi awal bagi membantu pelajar yang berdepan tekanan emosi dan memerlukan sokongan tambahan.
Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen berkata, program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama pihak sekolah, Persatuan Komuniti Dinamik Malaysia serta pakar kesihatan mental termasuk pakar psikiatri, ahli psikologi klinikal dan kaunselor berdaftar.
Menurutnya, insiden terbaharu yang melibatkan sebuah sekolah swasta di Kuching turut menimbulkan kebimbangan mengenai kesejahteraan emosi pelajar dan kepentingan menyediakan persekitaran pembelajaran yang selamat serta menyokong.
Menerusi program itu, guru akan bekerjasama mengenal pasti pelajar yang mungkin memerlukan perhatian dan sokongan tambahan, selain membantu mereka membina daya tahan mental serta mempelajari kemahiran mengurus tekanan.
Pelajar yang memerlukan bantuan juga berpeluang mendapatkan sokongan profesional dengan memastikan privasi dan maruah mereka sentiasa dihormati.

Yii berkata, program itu turut bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental, mengurangkan stigma serta menggalakkan pelajar mendapatkan bantuan apabila berdepan masalah emosi.
Beliau menegaskan bahawa kesejahteraan mental guru juga tidak boleh dipinggirkan kerana mereka memikul tanggungjawab besar dalam mendidik serta memainkan peranan penting mengenal pasti perubahan emosi dan tingkah laku pelajar.
Bagi memastikan keberkesanan inisiatif itu, penilaian akan dilakukan sepanjang tempoh pelaksanaan serta beberapa bulan selepas program berakhir bagi mengukur impak dan mengenal pasti ruang penambahbaikan.
Menurutnya, usaha menjaga kesejahteraan mental pelajar memerlukan komitmen bersama pihak sekolah, ibu bapa, guru, pakar profesional dan masyarakat.
“Setiap kanak-kanak berhak mendapat persekitaran pembelajaran yang membuatkan mereka berasa selamat, disokong dan didengari,” katanya.
Oleh Connie Chieng




