Dewan terbuka Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang siap lebih awal daripada jadual

Facebook
WhatsApp
SOKONGAN... Sebastian Ting ketika menghadiri majlis perasmian dewan terbuka baharu Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang yang siap sepenuhnya pada 29 September lalu.

MIRI, 11 November: Projek pembinaan dewan terbuka baharu di Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang yang dilaksanakan menerusi peruntukan RM300,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) siap sepenuhnya pada 29 September lalu, lebih awal daripada jadual ditetapkan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, penyiapan awal projek berkenaan membolehkan warga sekolah memanfaatkan kemudahan tersebut lebih cepat daripada yang dirancang.

Menurutnya, dewan terbuka itu bukan sahaja menyediakan kemudahan tambahan kepada pelajar, malah membolehkan pihak sekolah menganjurkan pelbagai aktiviti dan menjadi tuan rumah kepada program yang melibatkan peserta dari luar Miri.

“Pelajar merupakan aset Sarawak. Pembangunan bakat mereka amat penting dan kita akan terus memberikan sokongan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan dewan terbuka berkenaan di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengetua Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, Mohamad Effendi Panglima berkata, kemudahan baharu itu amat bermakna kepada pihak sekolah dan ibu bapa kerana dapat digunakan untuk pelbagai aktiviti, khususnya yang melibatkan pelajar asrama.

Menurutnya, sekolah berkenaan turut mempunyai kemudahan Asrama Malaysia Amal, yang merupakan satu daripada hanya lima kemudahan seumpamanya di seluruh negara.

“Dewan ini amat bermakna dan penting kepada pihak sekolah kerana kami mempunyai banyak aktiviti

“Kemudahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga sekolah, khususnya pelajar asrama,” katanya.

Beliau menambah, dewan terbuka tersebut turut menyokong peranan sekolah sebagai tuan rumah kepada program anjuran Kementerian Pendidikan (KPM), sekali gus membuka peluang untuk mengetengahkan Sarawak di peringkat kebangsaan.

Oleh Connie Chieng