SIBU, 11 November: Selepas 11 tahun menanggung ketidakpastian, seramai 66 pembeli projek perumahan sakit Kemuyang Heights akhirnya mendapat sinar harapan apabila pelan pemulihan dikenal pasti tanpa mengenakan sebarang bayaran tambahan kepada mereka.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, syarikat penyelamat (white knight) berpotensi sudah dikenal pasti untuk mengambil alih projek berkenaan secara langsung akan membuka laluan kepada penyelesaian terhadap projek perumahan yang sekian lama tertangguh itu.
Katanya, cadangan pelan pemulihan berkenaan mendapat sokongan penuh pembeli yang terjejas dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Projek Perumahan (JKTP), hari ini.
Menurutnya, perkara paling penting ialah memastikan pembeli tidak dibebankan dengan sebarang bayaran tambahan bagi membolehkan projek itu disiapkan.
“Pelan pemulihan ini tidak memerlukan mereka membuat sebarang bayaran tambahan. Tiada beban kewangan baharu akan dikenakan kepada pembeli dan ini berita baik untuk mereka,” jelasnya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan, di sini hari ini.
Tiang memberitahu, projek yang membabitkan 66 unit kediaman itu kini mencapai kira-kira 70 peratus kemajuan pembinaan, namun beberapa perancangan semula perlu dilakukan bagi memastikan pelan pemulihan berkenaan berdaya maju.
Katanya, syarikat penyelamat akan bekerjasama dengan pemaju sedia ada untuk menyelesaikan perkara berkaitan kewangan tertunggak sebelum pelan pemulihan dikemukakan kepada pihak berkuasa berkaitan.
“Penyelesaian projek itu bukan sekadar menyiapkan baki pembinaan, malah perlu memastikan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air tersedia serta hak milik tanah dapat dikeluarkan kepada pembeli.
“Kementerian saya akan membantu menyelaras proses berkenaan dengan kerjasama Jabatan Tanah dan Survei, Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) serta Sarawak Energy Berhad (SEB) dari segi keperluan teknikal dan kelulusan,” ujarnya.
Beliau mengakui bersimpati dengan nasib pembeli yang terpaksa menunggu selama 11 tahun, termasuk mereka yang masih menyewa kediaman lain sementara menantikan rumah mereka disiapkan.
“Kami sudah mencuba pelbagai penyelesaian dan pagi ini, satu pendekatan lebih baik dikenal pasti. Saya percaya inilah penyelesaian yang boleh membawa projek ini sehingga ke garisan penamat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, mesyuarat itu turut membincangkan projek perumahan sakit Taman Muhibah di Bintangor yang membabitkan kira-kira 20 pembeli.
Tiang berkata, syarikat penyelamat berpotensi turut dikenal pasti bagi projek berkenaan, namun cadangan pengambilalihan belum dapat diteruskan sehingga beberapa isu perundangan diselesaikan melalui mahkamah.
Beliau menegaskan usaha memulihkan projek perumahan sakit di Sarawak akan diteruskan walaupun beliau kini berstatus caretaker kerana peningkatan kos pembinaan menuntut tindakan segera bagi memastikan projek terbabit dapat disambung semula.
Turut hadir Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Sibu, Chua Soh Kee serta Perancang Bandar Kanan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Konsil Genam.
Oleh Akun Giman





