Projek pemasangan lampu solar di kawasan pesisir Jepak bakal dilaksanakan

Facebook
WhatsApp
SESI PENYERAHAN.. Wakil pihak terlibat menyempurnakan sesi penyerahan dokumen ikrar komitmen bagi pelaksanaan projek pemasangan lampu solar di kawasan DUN Jepak, Bintulu. Foto JKR Sarawak

BINTULU, 11 November: Projek penyediaan dan pemasangan lampu solar di kawasan perkampungan pesisiran Pantai Jepak bakal dilaksanakan bagi menambah baik kemudahan pencahayaan di kawasan berkenaan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, projek itu melibatkan pemasangan lampu solar di seluruh kawasan DUN Jepak, Bintulu.

Mesyuarat permulaan projek (Kick-Off Meeting) telah diadakan bagi menyelaras pelaksanaan projek serta memastikan setiap pihak yang terlibat memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing.

Mesyuarat itu turut disusuli dengan pemeteraian ikrar komitmen pelaksanaan projek dalam tempoh satu bulan (One Month Pledge).

Ia melibatkan penyertaan wakil JKR Ibu Pejabat menerusi Cawangan Kejuruteraan Elektrik, JKR Bahagian Bintulu, wakil rakyat kawasan Jepak serta pihak kontraktor.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk penyelarasan kerja, penetapan tanggungjawab pihak terlibat serta langkah memastikan projek dilaksanakan mengikut perancangan dan spesifikasi yang ditetapkan.

Projek itu diharap dapat meningkatkan kemudahan pencahayaan di kawasan perkampungan pesisiran pantai, sekali gus menyediakan persekitaran lebih selesa dan selamat kepada penduduk setempat.

JKR Sarawak turut menegaskan komitmennya untuk memastikan pelaksanaan projek terus dipantau bagi menjamin kualiti kerja serta pematuhan terhadap spesifikasi yang ditetapkan.

Oleh Faizah Muzidi