Ular tedung tikus ditemukan dalam bilik tidur

Facebook
WhatsApp
ULAR tedung tikus berjaya ditangkap oleh anggota bomba. Foto BBP Sarikei

SARIKEI, 11 November: Kehadiran seekor ular tedung tikus di dalam bilik tidur sebuah rumah di Jalan Hua Tai 2 mengejutkan penghuni kediaman berkenaan malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Vincent Baling berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.33 malam sebelum menggerakkan tiga anggota ke lokasi untuk menjalankan operasi menangkap ular berkenaan.

Katanya, pasukan yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Hilary Pitre Ambit memulakan operasi pada 10.36 malam.

“Setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati seekor ular tedung tikus (Coelognathus radiatus) berada di dalam bilik tidur pengadu.

“Anggota bomba kemudian menggunakan peralatan khas penjerut ular untuk menangkap reptilia tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, ular berkenaan berjaya ditangkap sebelum dipindahkan keluar dari kawasan kediaman dan dilepaskan semula ke habitat asalnya.

Operasi khidmat khas itu selesai sepenuhnya pada 10.55 malam.

Oleh Earl Anek