Jangan abaikan apabila sakit kepala datang bagai petir – Pakar Perubatan

Facebook
WhatsApp

KUALA LUMPUR, 11 November: Jangan ambil mudah sekiranya mengalami sakit kepala luar biasa dengan kesakitan dirasai sepantas panahan petir.

Kesakitan itu pula mereda begitu sahaja, memungkinkan mereka yang mengalami menganggap keadaan tersebut sekadar migrain, atau disebabkan oleh keletihan fizikal atau tekanan emosi.

Dan, mungkin selepas mengambil ubat serta berehat seketika, mereka meneruskan aktiviti tanpa memikirkan lagi kesakitan yang dialami hanya beberapa ketika sebelum itu.

Pakar perubatan bagaimanapun memberi amaran, corak sakit kepala sedemikian boleh menjadi petanda kecemasan perubatan yang mengancam nyawa. Lebih-lebih lagi sekiranya mereka tidak menunjukkan gejala lain seperti lemah anggota badan yang menyusuli serangan sakit kepala tersebut.

PENDARAHAN OTAK, PENYEMPITAN SALURAN DARAH

Pakar Perunding Neurologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr Schee Jie Ping menjelaskan keadaan itu dikenali sebagai sakit kepala petir (thunderclap headache), iaitu kesakitan luar biasa yang memuncak pada tahap maksimum dalam masa kurang seminit atau hanya beberapa saat.

“Istilah ini bukan diagnosis penyakit tertentu, sebaliknya tanda amaran klinikal yang memerlukan doktor untuk menyiasat lanjut punca insiden. Kesakitan yang berkurangan tidak bermakna bahaya telah berlalu,” jelasnya kepada Bernama.

Beliau juga berkata kesakitan yang dialami tidak sama dengan migrain, kerana insiden kesakitan berlaku secara tiba-tiba dan terus memuncak.

“Migrain lazimnya berkembang secara beransur-ansur berbanding sakit kepala petir yang memuncak dalam hanya beberapa saat. Oleh itu, pesakit migrain perlu mendapatkan penilaian segera sekiranya mengalami serangan mendadak yang jelas berbeza daripada kebiasaan,” katanya.

Menurut Dr Schee, terdapat beberapa senario yang mungkin menyebabkan berlaku sakit kepala petir. Antara punca serius yang perlu dinilai segera ialah pendarahan subaraknoid (SAH), iaitu pendarahan dalam ruang di antara dua lapisan selaput otak.

Punca paling lazim bagi SAH yang berlaku tanpa kecederaan kepala pula ialah aneurisme otak yang pecah.

“Aneurisme otak ialah benjolan atau gelembungan yang terbentuk pada bahagian dinding arteri yang lemah. Jika aneurisme ini pecah, pendarahan boleh menyebabkan keadaan pesakit merosot dengan cepat dan mengakibatkan kecacatan kekal atau kematian. Keadaan ini memerlukan rawatan kecemasan,” ujarnya.  

Lebih membimbangkan, kata beliau, kebanyakan aneurisme yang belum pecah tidak menunjukkan gejala. Sesetengahnya pula akan menimbulkan gejala jika menekan saraf atau struktur berdekatan. Apabila aneurisme pecah dan menyebabkan SAH, sakit kepala petir boleh menjadi gejala pertama.

Tambah beliau, aneurisme boleh berlaku disebabkan oleh beberapa faktor risiko boleh diubah, antaranya merokok dan tekanan darah tinggi. Risiko juga lebih tinggi dalam kalangan individu yang mempunyai sejarah aneurisme otak dalam keluarga atau keadaan genetik tertentu.

Dr Schee berkata gejala sakit kepala petir juga mungkin satu gejala reversible cerebral vasoconstriction syndrome (RCVS), iaitu penyempitan sementara salur darah arteri otak yang lazimnya pulih dalam tempoh tiga bulan.

Pesakit RCVS boleh mengalami sakit kepala mendadak yang berulang dalam tempoh dua minggu pertama. Walaupun sakit kepala mungkin satu-satunya gejala awal, RCVS juga boleh mengakibatkan komplikasi seperti pendarahan di dalam atau sekeliling otak, strok iskemia akibat kekurangan bekalan darah ke otak dan sawan.

“RCVS juga boleh berlaku kepada individu sihat, termasuk wanita selepas bersalin serta mereka yang terdedah kepada ubat pelega hidung tersumbat, ubat sistem serotonin dan dadah rekreasi. Pesakit perlu memaklumkan penggunaan ubat dan suplemen bagi membantu penilaian klinikal,” nasihatnya.

KECEPATAN MASA MENENTUKAN DIAGNOSIS

Dari sudut pengurusan klinikal, Dr Schee berkata faktor masa memainkan peranan penting bagi mengenal pasti punca sakit kepala petir dengan imbasan tomografi berkomputer (CT) otak tanpa suntikan bahan kontras (cecair khas untuk menyerlahkan salur darah) biasanya dilakukan sebagai saringan awal.

Keupayaan imbasan itu untuk mengesan pendarahan otak berada pada tahap paling tinggi apabila dilakukan dalam tempoh enam jam pertama selepas gejala bermula, iaitu dari waktu sakit kepala menyerang.

“Bagi pesakit yang hadir (di hospital) dalam tempoh enam jam pertama dan pemeriksaan saraf mereka benar-benar normal, imbasan CT tanpa kontras yang berkualiti tinggi itu sudah memadai untuk menyingkirkan risiko pendarahan otak jika pakar radiologi mengesahkan tiada sebarang tanda pendarahan,” katanya.

Bagaimanapun, jika imbasan dilakukan selepas tempoh enam jam tersebut atau doktor masih mempunyai kecurigaan klinikal, pemeriksaan tambahan seperti pungsi lumbar (LP) akan mula dipertimbangkan.

Prosedur tersebut membabitkan pengambilan sampel cecair serebrospina (CSF) melalui jarum di bahagian pinggang selepas bius setempat disuntik, dengan sampel tersebut akan dianalisis di makmal bagi mengesan kewujudan tanda pendarahan atau jangkitan pada sistem saraf.

SARINGAN LANJUTAN DAN PENILAIAN SUSULAN

Selain CT dan LP, Dr Schee berkata pengimejan lanjutan seperti angiografi CT (CTA) dengan bahan kontras, angiografi resonans magnetik (MRA) atau pengimejan resonans magnetik (MRI) juga boleh digunakan berdasarkan punca yang disyaki.

Bagaimanapun, sekiranya semua ujian lanjutan ini menunjukkan keputusan normal tanpa sebarang pendarahan dalam otak, kerosakan struktur atau penyempitan salur darah, doktor amnya akan merawat serangan itu sebagai sakit kepala petir primer.

“Perlunya menjalani kesemua saringan itu bagi memudahkan pengurusan rawatan. Selepas kesemua sangkaan seperti pendarahan otak dan RCVS disingkirkan, doktor akan menumpukan rawatan simptomatik dengan memberikan ubat tahan sakit khusus untuk mengawal kesakitan. 

“Sakit kepala jenis ini lazimnya akan beransur pulih secara semula jadi dalam tempoh beberapa hari atau minggu tanpa meninggalkan sebarang kesan jangka panjang,” tambahnya lagi.

Bagaimanapun jelas beliau, bagi yang mengalami sakit kepala petir akibat pendarahan otak yang berpunca daripada aneurisme pecah, mereka akan dimasukkan ke hospital untuk menjalani rawatan lanjut.

“Mereka yang didiagnosis mengalami RCVS pula akan dirawat dengan mengenal pasti dan menghentikan faktor pencetus seperti ubat pelega hidung (tersumbat), mengawal kesakitan serta memantau komplikasi,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan kajian terkini, ubat anti radang yang mengandungi steroid tidak sesuai diberikan kepada pesakit RCVS kerana berisiko memburukkan lagi keadaan penyempitan salur darah.

“Pendedahan ini penting bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengamal perubatan di barisan hadapan ketika merawat kes sakit kepala mendadak,” jelasnya.

 PENAMPILAN LUARAN BUKAN UKURAN KESELAMATAN

Sementara itu, Pakar Klinikal di Jabatan Perubatan Kecemasan PPUM Dr Salha Mohd Fadil berkata antara cabaran utama merawat pesakit dengan sakit kepala petir ialah mereka boleh kelihatan stabil pada pandangan luaran walaupun mengalami keadaan serius.

“Sebagai contoh, pesakit dengan SAH mungkin masih mampu berjalan dan bercakap, manakala pesakit lain dengan keadaan serupa boleh mengalami kemerosotan kesedaran. 

“Oleh itu, penampilan luaran semata-mata tidak boleh dijadikan ukuran untuk menentukan sama ada seseorang pesakit berada dalam keadaan selamat,” jelasnya dan menambah keadaan pesakit dinilai berdasarkan keadaan kinikal meliputi tanda vital seperti tekanan darah, kadar denyutan jantung dan paras oksigen serta tahap kesedaran.

Memetik kajian antarabangsa yang diterbitkan dalam Emergency Medicine Journal pada 2022, beliau berkata sekalipun kebanyakan sakit kepala petir tidak melibatkan keadaan yang serius, ini tidak bermakna mereka yang mengalami boleh memandang remeh keadaan tersebut. 

“Kajian itu melibatkan 4,536 pesakit yang hadir di Jabatan Kecemasan di 67 hospital di 10 negara, dengan 644 daripadanya mengalami sakit kepala petir.

“Daripada kumpulan 644 pesakit berkenaan, 10.9 peratus dikenal pasti mempunyai punca serius, iaitu keadaan yang boleh mengancam nyawa serta menjejaskan fungsi otak dan memerlukan rawatan kecemasan segera. Antara contohnya ialah strok dan jangkitan selaput otak (meningitis).

“Dalam kumpulan pesakit yang sama, 3.6 peratus pula mengalami pendarahan SAH, iaitu sebahagian daripada kategori punca serius tersebut,” katanya, menambah data tersebut menegaskan kepentingan untuk mereka yang mengalami sakit kepala petir mendapatkan pemeriksaan lanjut di hospital.

TINDAKAN SEGERA MAMPU MENYELAMATKAN NYAWA

Sementara itu, Dr Schee berkata sakit kepala petir boleh berlaku ketika melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam, mengangkat beban, batuk, meneran atau berintimasi.

“Sesiapa yang mengalami serangan perlu segera menghentikan aktiviti dan mendapatkan bantuan perubatan. Mereka tidak seharusnya memandu sendiri ke hospital, sebaliknya meminta bantuan atau menghubungi 999,” tegasnya.

Bagi persekitaran kerja, petugas yang mengendalikan mesin atau bekerja di tempat tinggi perlu menghentikan tugas mengikut prosedur keselamatan. Matlamat utama majikan pada peringkat ini adalah mengelakkan kemalangan sekunder, bukannya membiarkan pekerja meneruskan tugas.

Dr Salha menasihati orang awam yang berada bersama-sama pesakit supaya tidak meninggalkannya berseorangan, memantau pernafasan serta mengumpul maklumat waktu serangan dan senarai ubat pesakit.

“Jika pesakit tidak sedarkan diri tetapi bernafas normal, letakkan dia dalam keadaan mengiring (posisi pemulihan). Jika pesakit tidak bernafas secara normal, mulakan CPR dan gunakan AED jika tersedia. Panggilan kecemasan tidak harus ditangguhkan semata-mata untuk mendapatkan maklumat tambahan mengenai pesakit,” nasihatnya.- Bernama