PETRA JAYA, 10 November: Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie, terus mempergiat usaha memperkukuh sektor pendidikan di kawasan Parlimen Sri Aman menerusi cadangan menaik taraf Sekolah Kebangsaan (SK) Pantu kepada Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) serta penubuhan sebuah kolej vokasional baharu.
Beliau berkata, kedua-dua cadangan tersebut merupakan langkah strategik untuk memperluas akses pendidikan dan meningkatkan peluang pembelajaran serta latihan kemahiran kepada masyarakat setempat, khususnya golongan muda di kawasan luar bandar.
Perkara itu dinyatakan ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Kertas Kerja Cadangan Menaik Taraf SK Pantu kepada Sekolah K11 dan Cadangan Penubuhan Kolej Vokasional di kawasan Parlimen Sri Aman yang berlangsung di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, semalam.
Menurut Doris, mesyuarat berkenaan merupakan sesi penyelarasan kali keempat yang diadakan bagi meneliti perkembangan semasa, kelancaran pelaksanaan serta status terkini kedua-dua cadangan berkenaan.
Dalam ucapan pembukaannya, beliau menegaskan bahawa mesyuarat penyelarasan secara berkala penting bagi memastikan setiap cadangan dapat dipantau secara menyeluruh dan ditambah baik sebelum dikemukakan kepada pihak berkuasa untuk pertimbangan lanjut.
“Penglibatan semua pihak berkepentingan amat penting supaya setiap pandangan, idea dan cadangan yang dikemukakan dapat diambil kira dalam memperkukuh kertas kerja yang disediakan,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa kerjasama erat antara agensi kerajaan, pihak pendidikan dan komuniti setempat merupakan faktor utama dalam memastikan cadangan yang dikemukakan benar-benar memenuhi keperluan pendidikan masyarakat di kawasan tersebut.
Cadangan menaik taraf SK Pantu kepada Sekolah K11 dilihat mampu menyediakan laluan pendidikan yang lebih lengkap kepada pelajar tanpa perlu berpindah ke lokasi lain untuk menyambung persekolahan.
Pada masa yang sama, penubuhan kolej vokasional baharu berpotensi melahirkan tenaga kerja mahir melalui pendidikan teknikal dan latihan berasaskan kemahiran yang sejajar dengan keperluan industri semasa.
Usaha tersebut memperlihatkan komitmen berterusan kepimpinan Parlimen Sri Aman dalam memperkukuh pembangunan pendidikan serta memastikan masyarakat luar bandar menikmati akses kepada pendidikan yang lebih berkualiti dan berdaya saing.
Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan; Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh; Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak, Peliman Gendang; Pegawai Daerah Pantu, Raca Mulong; wakil pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi berkaitan serta ketua-ketua masyarakat dari Daerah Pantu.
Oleh Adi Safarman





