KUCHING, 10 November: Usaha menangani pelbagai isu dan cabaran sosial di Sarawak memerlukan kerjasama bersepadu serta penyelarasan berterusan antara pelbagai pihak bagi memperkukuh kesejahteraan komuniti, sejajar dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) ke arah pembentukan masyarakat yang inklusif.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata kejayaan pelaksanaan program pembangunan sosial banyak bergantung kepada komitmen dan kerjasama erat antara kementerian, Pejabat Residen, Pejabat Daerah serta agensi pelaksana di seluruh Sarawak.
Menurut beliau, Pejabat Residen dan Pejabat Daerah memainkan peranan penting sebagai rakan strategik kementerian dalam menyelaras pelaksanaan program pembangunan sosial di peringkat bahagian dan daerah masing-masing.
“Kerjasama yang diberikan, khususnya dalam mengenal pasti keperluan komuniti, menyelaras penglibatan agensi, mengurus pelaksanaan program serta menggalakkan penyertaan masyarakat setempat amat penting bagi memastikan setiap program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar dan mencapai kumpulan sasar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Post-Mortem Program Majlis Pembangunan Sosial (MPS) Tahun 2026 dan Perancangan Program Tahun 2027 di sini, semalam.
Razi berkata penganjuran bengkel itu merupakan langkah penting untuk menilai semula pelaksanaan program sepanjang tahun 2026, mengenal pasti pencapaian yang telah diraih serta meneliti isu dan cabaran yang dihadapi dalam pelaksanaannya.
Katanya, bengkel berkenaan bukan bertujuan mencari kelemahan mana-mana pihak, sebaliknya menjadi platform untuk semua pihak berkongsi pengalaman, menilai keberkesanan pelaksanaan program dan mengenal pasti langkah penambahbaikan yang boleh dilaksanakan pada masa hadapan.
“Ukuran kejayaan program pembangunan sosial bukan hanya berdasarkan jumlah program yang dianjurkan atau bilangan peserta yang hadir, tetapi sejauh mana program tersebut mampu menangani isu sosial dan memberi manfaat yang nyata kepada komuniti,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa maklum balas daripada Pejabat Residen dan Pejabat Daerah amat penting kerana mereka berada lebih dekat dengan komuniti dan memahami cabaran sebenar di peringkat lapangan.
Sehubungan itu, beliau berharap perancangan program bagi tahun 2027 dapat dibuat secara lebih menyeluruh dengan mengambil kira isu sosial semasa, keperluan kumpulan sasar, kesesuaian lokasi serta kemampuan setiap agensi untuk menyumbang berdasarkan bidang kepakaran masing-masing.
Dalam pada itu, Razi turut menyeru semua pihak untuk terus memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi, meneroka kaedah pelaksanaan yang lebih inovatif dan berkesan serta mengoptimumkan penggunaan sumber bagi memastikan manfaat program dapat diperluaskan ke seluruh Sarawak.
Beliau juga menekankan kepentingan integriti dan tadbir urus yang baik dalam pelaksanaan setiap program bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan serta tatacara yang ditetapkan.
“Usaha membangunkan komuniti yang sejahtera memerlukan komitmen dan tanggungjawab bersama. Saya berharap semangat kerjasama yang terjalin antara semua pihak akan terus diperkukuhkan demi kesejahteraan rakyat Sarawak,” katanya.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Nur Alina Abdullah @ Colliner Gohe.
Oleh Adi Safarman





