Ribut petir, angin kencang dijangka landa Kuala Lumpur, lapan negeri hingga 5.00 petang ini

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan.

KUALA LUMPUR, 10 November: Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta lapan negeri hingga 5.00 petang ini.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan bahawa cuaca buruk itu dijangka melanda seluruh Perlis, Jelebu di Negeri Sembilan serta beberapa kawasan di Kedah, iaitu Kubang Pasu, Padang Terap dan Pokok Sena.

“Di Pahang, kawasan yang dijangka terjejas ialah Maran, Bera, Temerloh dan Bentong, manakala di Selangor melibatkan Gombak, Hulu Langat, Petaling serta Hulu Selangor.

“Di Johor, kawasan terlibat ialah Pontian, Johor Bahru, Kulai dan Mersing,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, amaran sama turut melibatkan kawasan Limbang dan Marudi di Miri, Sarawak, manakala di Sabah membabitkan Tawau, Pensiangan dan Tambunan di kawasan Pedalaman serta Pantai Barat.

MetMalaysia turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap risiko banjir kilat, pokok tumbang dan gangguan terhadap aktiviti luar susulan cuaca buruk yang dijangka berlaku. – Bernama