Kepimpinan tempatan penting pertahan hak dan masa depan Sarawak – Yap

Facebook
WhatsApp
PENYANDANG ADUN Kota Sentosa dan Pengerusi SUPP Cawangan Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin.

KUCHING, 9 November: Kepimpinan tempatan yang kukuh dan tadbir urus berkesan penting dalam memastikan hak serta kepentingan Sarawak terus terpelihara, kata penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin.

Beliau berkata, rakyat Sarawak perlu terus bersatu menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi memastikan hala tuju pembangunan dan masa depan negeri ini kekal ditentukan oleh rakyatnya sendiri.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Kota Sentosa itu berkata, hanya rakyat Sarawak benar-benar memahami keperluan, aspirasi dan cabaran yang dihadapi masyarakat di negeri ini.

Sehubungan itu, beliau berkata autonomi negeri perlu terus dipertahankan bagi memastikan setiap keputusan berkaitan Sarawak dibuat dengan mengutamakan kepentingan rakyat.

“Hanya rakyat Sarawak benar-benar memahami keperluan, aspirasi dan cabaran yang dihadapi oleh masyarakat kita sendiri. Oleh itu, kita mesti terus mempertahankan autonomi negeri dan memastikan setiap keputusan yang melibatkan Sarawak dibuat demi kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata GPS sebagai gabungan politik berteraskan Sarawak memahami keunikan negeri ini serta komited melaksanakan pembangunan secara inklusif tanpa mengira kaum, agama atau lokasi geografi.

Yap berkata keberkesanan kerajaan tidak seharusnya dinilai berdasarkan retorik politik atau janji pilihan raya semata-mata, sebaliknya melalui keupayaan menangani masalah rakyat dan membawa perubahan nyata kepada kehidupan mereka.

Katanya, keperluan masyarakat di peringkat akar umbi perlu diberi perhatian melalui khidmat masyarakat, hubungan berterusan dengan penduduk serta tindakan susulan terhadap isu yang dibangkitkan.

Mengulas pembangunan di kawasan Kota Sentosa, beliau berkata lebih RM3.526 juta telah disalurkan bagi pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan bersasar.

Antara projek yang dilaksanakan termasuk penambahbaikan longkang konkrit secara berperingkat di Jalan Semaba, pembaikan jalan menerusi peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) serta kerja menaik taraf taman rekreasi.

Menurutnya, peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk menterjemahkan dasar dan perancangan pembangunan kepada manfaat yang dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.

Beliau sekali lagi menyeru rakyat Sarawak supaya terus bersatu mempertahankan hak negeri dan menyokong GPS demi memastikan Sarawak terus maju, makmur serta mempunyai hala tuju pembangunan yang ditentukan oleh rakyatnya sendiri.

Oleh Connie Chieng