SEBAUH, 9 November: Jambatan Batang Kemena yang menelan kos RM122.998 juta dijangka memperkukuh jaringan perhubungan di Bahagian Bintulu, sekali gus memberikan manfaat kepada kira-kira 32,000 penduduk setempat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan infrastruktur seperti jambatan dan jalan raya penting bagi meningkatkan kesalinghubungan antara kawasan bandar dengan luar bandar, terutama dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
Beliau berkata, kemudahan perhubungan yang lebih baik bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah membuka akses kepada kawasan penempatan dan aktiviti ekonomi yang sebelum ini berdepan kekangan perjalanan.
“Kita membangunkan negeri mesti memikirkan banyak perkara dan kita bangunkan demi kepentingan rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Jambatan Batang Kemena di sini, hari ini.
Seiring dengan matlamat itu, jambatan yang merentasi Batang Kemena berkenaan dibina sepanjang 728.56 meter dan merupakan sebahagian daripada projek yang melibatkan keseluruhan jajaran kira-kira 2.3 kilometer.
Projek dua lorong yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak itu menggunakan kaedah pembinaan ‘Balanced Cantilever’ serta dilengkapi jalan pendekat, sistem perparitan, lampu jalan, lampu navigasi dan kelengkapan keselamatan jalan raya.
Jambatan berkenaan mula dibuka kepada pengguna menerusi pembukaan awal pada 6 Disember 2025 sebelum dirasmikan Abang Johari hari ini.
Dengan kemudahan itu, pengguna kini mempunyai laluan alternatif yang lebih singkat dari Lapangan Terbang Bintulu ke Pekan Sebauh, sekali gus meningkatkan kecekapan perjalanan serta memudahkan akses kepada kemudahan awam.
Selain meningkatkan keselesaan perjalanan, kemudahan perhubungan berkenaan dijangka merancakkan pembangunan sosioekonomi setempat, khususnya dalam sektor perdagangan, perkhidmatan dan pertanian.
Abang Johari berkata, pembangunan infrastruktur akan terus diberi perhatian dalam perancangan kerajaan negeri bagi memastikan lebih banyak kawasan di Sarawak dihubungkan melalui jaringan jalan raya dan jambatan yang lebih baik.
Usaha itu penting bagi memastikan manfaat pembangunan dapat diperluas kepada masyarakat luar bandar, sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
Oleh Carolyne Utih




