SEBAUH, 9 November: Pembangunan pesat Bintulu perlu dirancang secara menyeluruh bagi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi turut dinikmati kawasan berhampiran, termasuk Sebauh dan kawasan sekitarnya.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkembangan Bintulu sebagai pusat kegiatan ekonomi dan perindustrian berpotensi memberi kesan limpahan kepada kawasan berdekatan menerusi peluang pekerjaan, aktiviti perniagaan serta pembangunan perumahan.
Menurutnya, konsep kesan limpahan ekonomi atau ‘spillover effect’ itu menjadi antara pertimbangan dalam perancangan induk Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) yang turut mengambil kira pembangunan Sebauh dan sebahagian kawasan sekitarnya.
“Kalau Bintulu membangun, ia akan melimpah kepada kawasan yang berdekatan dengan Bintulu,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Jambatan Batang Kemena di sini, hari ini.
Menurutnya, pertumbuhan ekonomi yang tertumpu di sesuatu kawasan turut meningkatkan permintaan terhadap kediaman, sekali gus boleh menyebabkan kenaikan harga rumah dan kadar sewa sekiranya bekalan tidak mencukupi.
“Perkara utama yang dihadapi orang Bintulu adalah harga rumah terlalu mahal dan ini (isu) mesti dicari jalan penyelesaiannya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, pembangunan kawasan sekitar Bintulu perlu diberi perhatian bagi mewujudkan pilihan kediaman yang lebih berpatutan, khususnya kepada golongan pekerja yang berkhidmat di pusat perindustrian berkenaan.
Abang Johari berkata, usaha memperluas pembangunan ke kawasan berhampiran juga perlu disokong oleh jaringan infrastruktur yang baik, termasuk pembinaan jalan raya dan jambatan bagi memudahkan pergerakan penduduk.
Ujarnya, kesalinghubungan yang lebih baik bukan sahaja memendekkan perjalanan, malah berupaya merancakkan aktiviti perdagangan, perkhidmatan dan ekonomi masyarakat setempat.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus mengambil kira keperluan pembangunan kawasan sekitar dalam perancangan jangka panjang bagi memastikan pertumbuhan ekonomi Bintulu turut memberi manfaat kepada penduduk di kawasan berhampiran.
Oleh Carolyne Utih




