KUCHING, 9 November: Daripada perjuangan hak Sarawak kepada keperluan keluarga dan penjaga, pelbagai sisi pengalaman Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri menjadi pengisian episod kelima podcast Borak Kenyalang.
Beliau tiba di pejabat Utusan Sarawak di Jalan Nanas kira-kira 10.15 pagi tadi bagi menjayakan rakaman podcast bertemakan ‘Dari Hak Sarawak kepada Kesejahteraan Rakyat’.
Dikendalikan Ketua Wartawan Utusan Sarawak, Mohd Shahrul Qaizat Marzuki sebagai hos, episod ini menggunakan pendekatan perbualan santai untuk mendekatkan penonton dengan pengalaman dan pandangan beliau.
Antara tumpuannya ialah perjalanan membawa kefahaman mengenai federalisme, pembentukan Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kepada masyarakat.
Pengalaman Nancy bersama Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem atau Tok Nan turut menjadi antara pengisian untuk mengenali kisah di sebalik usaha memperjuangkan kepentingan Sarawak.

Persoalan bagaimana perjuangan hak dapat diterjemahkan kepada manfaat dalam kehidupan seharian rakyat turut menjadi antara perkara yang diketengahkan.
Daripada hak Sarawak, skop perbualan diperluaskan kepada keperluan keluarga yang menjaga kanak-kanak, warga emas serta orang kurang upaya (OKU).
Industri penjagaan menjadi tumpuan seterusnya, merangkumi sokongan kepada penjaga serta kepentingan latihan, kemahiran dan mutu perkhidmatan.
Episod ini turut mengetengahkan potensi sektor berkenaan membuka peluang pekerjaan dan perkhidmatan kepada belia, wanita serta usahawan tempatan di Sarawak.
Saksikan beberapa segmen menarik dalam episod Borak Kenyalang bersama Dato Sri Nancy Shukri yang akan disiarkan menerusi platform FB dan TikTok Utusan Sarawak.
Oleh Masrin Affirah





