Tahap ancaman siber negara sederhana, situasi kekal terkawal – MKN

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan.

KUALA LUMPUR, 7 November: Majlis Keselamatan Negara (MKN) menegaskan bahawa situasi keselamatan siber negara kekal terkawal dengan Tahap Ancaman Keselamatan Siber Negara (NCTL) berada pada tahap sederhana.

MKN menerusi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) memaklumkan bahawa Pusat Kawalan dan Penyelarasan Siber Negara (NC4) sedang memantau situasi keselamatan siber secara berterusan susulan perkembangan terkini.

Dalam kenyataan hari ini, MKN memaklumkan bahawa NACSA mengambil maklum mengenai insiden keselamatan siber serta gangguan sistem yang melibatkan beberapa institusi kewangan dan sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkaitan bagi memantau perkembangannya.

“Bank Negara (BNM) selaku Ketua Sektor Perbankan dan Kewangan sedang melaksanakan langkah kesiapsiagaan yang menyeluruh dan bersepadu, termasuk pemantauan berterusan terhadap tahap keselamatan siber entiti Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) di bawah seliaannya.

“NACSA turut bekerjasama dengan Ketua Sektor dan entiti NCII bagi memastikan sebarang ancaman dapat dikesan dan ditangani dengan segera, selain memastikan perkhidmatan penting negara terus beroperasi dengan lancar,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, MKN menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai atau menyebarkan dakwaan berkaitan serangan siber yang belum disahkan, termasuk hantaran yang tular di media sosial.

“Orang ramai diminta supaya sentiasa merujuk saluran rasmi kerajaan, BNM serta institusi kewangan masing-masing bagi mendapatkan maklumat yang sahih.

“MKN, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan NACSA akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi MKN dan JPM,” menurut kenyataan itu. – Bernama