KUCHING 7 Oktober: Polis Sarawak menerima empat laporan berhubung kegagalan pengeluaran wang menerusi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Miri susulan isu keselamatan siber yang membabitkan institusi kewangan dan mendapat perhatian ramai baru-baru ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Polis (DCP) Saifullizan Ishak berkata, kesemua laporan berkenaan membabitkan pelanggan bank yang gagal memperoleh wang selepas melakukan transaksi pengeluaran menerusi mesin ATM.
Bagaimanapun beliau berkata, pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada insiden berkenaan mempunyai kaitan dengan serangan siber atau berpunca daripada masalah teknikal.
“Setakat ini, kita menerima empat laporan daripada pelanggan bank. Isunya ialah mereka cuba mengeluarkan wang melalui mesin ATM, tetapi wang gagal dikeluarkan.
“Sama ada ia melibatkan serangan siber atau sebaliknya, kita masih dalam siasatan. Mungkin isu teknikal sahaja, tetapi kita akan menjalankan siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Gelanggang Futsal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.
Menurutnya, keempat-empat laporan berkenaan diterima di Miri, manakala setakat ini tiada laporan sama direkodkan di daerah lain di Sarawak.
Dalam perkembangan berkaitan, Saifullizan berkata, Polis Sarawak akan memperkukuh kerjasama dengan agensi keselamatan siber bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi sebarang ancaman serangan siber, khususnya yang menyasarkan institusi kewangan.
Katanya, beliau sudah mengarahkan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) untuk mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama Cyber Sarawak pada minggu depan.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan penyelarasan tugas dan tindakan awal dapat dilaksanakan sekiranya berlaku serangan siber di negeri ini.
“Kita perlu mengambil tindakan awal, khususnya dalam menyelaraskan tugas dan membuat persiapan sekiranya berlaku serangan siber.
“Di peringkat Persekutuan, terdapat tiga agensi berkaitan keselamatan siber, manakala di Sarawak kita juga mempunyai Cyber Sarawak. Sudah tentu kita akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan agensi berkaitan yang lain,” katanya.
Sementara itu, mengulas pelantikan rasminya sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak, Saifullizan merakamkan penghargaan kepada pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta kepimpinan politik Sarawak atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.
Beliau berikrar akan memberikan perkhidmatan terbaik bagi memastikan keamanan, keharmonian dan kesejahteraan seluruh negeri Sarawak terus terpelihara.
“Janji saya, saya akan memberikan yang terbaik untuk memastikan keamanan, keharmonian dan kesejahteraan seluruh negeri Sarawak terus kekal,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat




